Saat saya menulis entri ini saya
sedang ditaklifkan menyiapkan beberapa kertas kerja bagi program tahun hadapan.
Ya, taklifan tidak pernah surut. Ia sentiasa menunggu. Meneliti kembali takwim
PGPI 2013 membuat dada sedikit sesak. Ya Allah, mampukah saya dan rakan lajnah
bagi menggalasnya? Alhamdulillah, dalam keterpaksaan menerima taklifan tersebut
saya cuba untuk mencari rasionalnya. Mungkin ada ‘hadiah’ ingin Allah berikan
kepada kami. Pengalaman itu guru terbaik. Bila lagi jika tidak sekarang? Saya
ada lebih kurang 11 bulan sahaja lagi bagi mengutip berjuta pengalaman sebelum
ke dunia kerjaya. Dalam minggu pertama praktikum program itu bakal berlangsung.
InsyaAllah saya bersama rakan lajnah cuba menyusun sebaik mungkin agar objektif
program tersebut tercapai. “Kebatilan yang tersusun akan dapat mengalahkan
kebenaran yang tidak tersusun.” InsyaAllah, kata-kata ini tersimpan kemas dalam
minda. So, the Truth must always in front side.
Melihat pertukaran demi
pertukaran pimpinan PGPI menjadikan setiap perancangan disusun dengan lebih
baik. Ada sahaja program diselitkan setiap minggu bagi mengelakkan ‘bais
sekadar cantik di pandangan’ berlaku. Apa yang pasti semoga semakin ramai jiwa
muda mudi yang tersentuh hatinya dengan kebaikan melalui kempen biah solehah
yang dijalankan sepanjang tahun. Pesan saya buat semua pimpinan majlis
tertinggi juga rakan lajnah, “Jika kamu
menolong agama Allah, Allah pasti menolong kamu.” Yakinlah dengan janjiNya.
Usah berputus asa dengan karenah birokrasi, karenah protokol yang hanya
membantutkan usaha dakwah. Bergeraklah, yang pasti jaga hubungan baik dengan
Allah, jangan pernah offline
denganNya. Kerana keberjayaan usaha dakwah yang dilakukan adalah bertitik tolak
dari hati serta keberkatan Ilahi. Para salafussoleh amat mementingkan
kebersihan hati. Kerana segala sifat mahmudah juga mazmumah berpunca dari hati.
Dalam berprogram letakkan Allah sebagai tujuan serta sentiasa bayangkan
Rasulullah sentiasa bersama dan baginda akan tanya kita apa yang kita
sumbangkan demi Islam. Mutabaah amal perlu sentiasa disemak dan dipertingkat.
Hanya hati yang hidup dapat menghidupkan hati yang lain. Lihatlah semua mad’u
dengan pandangan mata dakwah. Jangan dihina diri yang belum menerima hidayah.
Terus berdoa agar mereka menjadi lebih baik dari kita InsyaAllah.
Dakwah takkan bergerak tanpa ilmu
Kefahaman adalah penting dalam
kita melakukan kerja dakwah. Hal ini kerana dakwah tidak akan tercapai matlamat
jika sekadar semangat semata-mata kerana semangat boleh hilang bila-bila masa.
Yang paling penting adalah kefahaman, cuba tanya diri kita kenapa kita buat
kerja dakwah? Kenapa dalam masa orang lain sibuk menelaah pelajaran sepanjang
masa, menenangkan fikiran sambil berehat-rehat mendengar lagu-lagu yang
mengasyikkan, menghiburkan diri dengan menonton drama-drama korea, bershopping dan outing sehari suntuk dan sebagainya, tetapi kita tetap juga
menyibukkan diri hadir ke meeting,
usrah, kuliah perdana dan membantu lajnah jamuan menyiapkan hidangan di dapur
bais? Oleh kerana itu disarankan kepada rakan seperjuangan PGPI, untuk terus
menimba ilmu melalui kuliah-kuliah, ceramah, seminar, daurah kitab dan
sebagainya bagi membina thaqafah berkenaan fiqh jihad.
Al-Quwwah dan amanah
Antara 2 sifat pemimpin yang
perlu ada dalam diri mereka adalah kuat dan amanah. “Dan salah seorang dari kedua (perempuan) itu berkata, “ Wahai ayahku!
Jadikanlah dia sebagai pekerja (pada kita), sesungguhnya orang yang paling baik
yang engkau ambil sebagai pekerja (pada kita) ialah orang yang kuat dan dapat
dipercaya.” (Al-Qasas : 26).
Dalam kita melakukan kerja
dakwah, 3 perkara yang perlu diberi perhatian iaitu jangan terlalu bercerita bab keduniaan, kedua hadirkan sentiasa rasa takut kepada Allah. Kepimpinan adalah satu
taklifan, bukan tasyrif. Setiap taklifan pasti akan ditanya oleh Allah. “Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan
setiap kamu bertanggungjawab terhadap kepimpinanmu.” Ketiga, sentiasa mengharapkan pertolongan Allah.
Jangan hanya bijak beretorik, berdegar-degar tanpa sedikit pun mengharapkan
bantuan Allah ibarat program yang hebat-hebat berjalan hanya kerana usaha
bermati-matian bukannya nusrah Allah. Jagalah aqidah kita wahai teman-teman.
Scorecard vs komitmen
Scorecard peribadi 2013 juga
sedang dalam perancangan saya. Menjadikan segala tiap sesuatu dilihat mempunyai
fokus dan matlamatnya. Apa yang pasti usah jadikan ianya sekadar penghias
dinding di bilik tanpa mengambil apa-apa tindakan dan follow up daripada setiap perancangan yang dilakukan. Ingat, Allah
melihat usaha yang kita lakukan, bukan sekadar natijahnya. Lakukan yang terbaik
sepanjang 2013. Bermula dengannya adalah perancangan. If you fail to plan, you plan to fail! Bermula detik ini, binalah
scorecard kehidupan kita agar perjalanannya nampak sistematik dan
tersusun. Lupakan segala kegagalan yang
lalu dan bangkit dari kekecewaan. Mungkin itu sekadar kejayaan yang tertunda.
Tiada orang yang gagal. Yang ada hanyalah orang yang tidak mahu bangkit dari
kegagalan. Sepanjang 2013 ini juga saya menyarankan kepada pimpinan majlis
tertinggi PGPI agar menyatakan matlamat yang ingin dicapai agar ahli-ahli
bawahan tahu seterusnya akan mewujudkan keselarasan dalam berprogram. Dalam
setiap program perlulah meletakkan objektif,
key
performance index, dan tempoh
masa bagi mencapai objektif yang telah ditetapkan. Seterusnya, lakukan post mortem sama ada objektif program
tercapai ataupun tidak dan lakukan penambahbaikan pada masa akan datang.
Buat para muslimah – mengambil ibrah kisah Ummu Sulaim
Saya menyarankan para muslimah
sekalian bagi menyoroti kisah pengorbanan Ummu
Sulaim, seorang mujahidah solehah yang mana mempunyai tadhiyyah yang tinggi
bersama-sama baginda nabi dalam meneruskan perjuangan. Beliau yang sarat
mengandung tetap mujahadah bagi menghantar bekalan makanan. Juga kisah Saidatina Khadijah yang tidak berbelah
bahagi dalam mendorong dan mendokong perjuangan baginda Rasulullah SAW. Kekayaan yang dimiliki diinfaqkan pada jalan Allah.
Antara kisah para sahabat lain yang boleh memberi motivasi kepada kita, Bilal bin Rabah, Saidina Anzalah
dan banyak lagi kisah para sahabat yang boleh kita jadikan contoh.
Muhasabah mencetus mujahadah
Jika dikenang dalam slot muhasabah,
jatuh bangun dalam kerja dakwah, bisa saja lari dari medan dakwah dan tarbiah
ini dan menumpukan 200% pada study.
Tetapi, ingatlah janji Allah :
“Sesungguhnya Allah membeli dari
orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereta dengan memberikan syurga
untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau
terbunuh, (sebagai) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan
Al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjiNya selain Allah? Maka
bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah
kemenangan yang agung. Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, beribadat,
memuji (Allah), mengembara (demi ilmu dan agama), rukuk, sujud, menyuruh berbuat makruf dan
mencegah dari yang mungkar dan yang memelihara hukum-hukum Allah. Dan
gembirakanlah orang-orang yang beriman.” (At-Taubah : 111-112)
“Wahai orang-orang yang beriman, mahukah kamu Aku tunjukkan suatu
perdagangan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? Iaitu kamu
beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan
jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui.” (As-Saff :
10-11)
Allah dan bagi offer, kenapa kita tak nak ambil?
Cumanya perlukan mujahadahlah sebab lihat semula keperitan, penderitaan dan
pengorbanan Rasulullah SAW dalam menyebarkan risalah dakwah ini sehingga kita
layak merasai kemanisan berada dalam nikmat Iman dan Islam pada hari ini. Jika
jalan dakwah ini mudah, pasti ramai yang mengikutinya. Segalanya selesa. Tetapi
teman, ia tidak semudah itu. Direject
paperwork dan perlu diperbaiki itu adalah lumrah. Call orang/VIP yang memanjang busy itu adalah perkara biasa. Apabila
meeting dijalankan, ada rakan-rakan
yang tidak dapat memberikan sepenuh komitmen itu perkara biasa. Kerana kita
perlu memahami, setiap orang mempunyai berjuta komitmen lain yang menunggu
untuk ditunaikan. Ada yang dalam masa yang sama sebagai anak merangkap ibu di
rumah, ada yang perlu balik pada tiap hujung minggu. Semuanya ini memerlukan nilai
empati dalam diri kita dan bijaksanaan dalam menyusun perancangan kerja. Sikap
toleransi dan bantu-membantu itu perlu ada. Tetapi, jangan pula kita yang
merosakkan kesucian agama ini. Berdakwah perlu ikhlas. Ingat, ALLAH dan nabi
akan tanya apa yang telah kita sumbangkan untuk Islam.
Sesungguhnya tiap tinta dalam
entri ini lebih dekat dengan jemari penulisnya dan bila-bila masa saja akan
diuji. Doakanku sahabat semoga aku kuat
menghadapinya.
Kerana akhirnya nanti kita ingin kembali dalam husnul khatimah~
Alfaqirah ilallah
Anamuslehlife2012
29122012