“Sekarang, majlis menjemput Pengerusi AJK Surau bagi Sesi
2007/2008 menyampaikan sepatah dua kata.”
Saudara Amir Amsyar menyusun langkah dengan tertib menuju ke
rostrum.
“Bismillahirrahmanirrahim...” Beliau memulakan bicara. Aku
memang tidak begitu mengenali rakan-rakan PST, lagi-lagi muslimin ni. Sejak
keberadaanku di kampus ini, sedikit sebanyak mengubah gaya fikir dan
penampilanku. Terlibat dengan organisasi surau mengajarku sedikit sebanyak
tentang adab pergaulan, penampilan sebenar bagi muslimat, ukhwah Islami,
pengurusan organisasi dan 1001 lagi pengalaman dan ilmu baru yang tidak mungkin
dilupakan.
Aku memikirkan tugasan-tugasan tutorial yang masih berbaki ditinggalkan di bilik hotel. Aku tidak menyangka aku akan berada di Hotel Bella
Vista, Langkawi pada saat dan ketika ini. Kami berkursus selama 4 hari bermula
Khamis sehingga Ahad.
Perasaan? Allah sahaja yang tahu. Memang semenjak kecil aku
tidak pernah mengikuti kursus seislamis begini. Paling aku ingat aku pernah
menyertai kursus kepimpinan sempena kokurikulum di Melaka. Ala-ala ketenteraan
begitu.
Terpinga-pinga aku di buatnya, macam mana aku boleh terlibat
dengan AJK Surau ni? Ya...malam itu, malam Allah menjentik taufiq dan hidayah
ke dalam hatiku. Mana mungkin aku lupakan. Sesi taaruf oleh Pengerusi AJK Surau Muslimat, Kak Fi di surau Blok B. Oh, sungguh bersopan santun dan bijak
orangnya, semangat dakwah yang tinggi dan tidak pernah berputus asa. Mulanya
aku menyangka dia adalah seorang pensyarah, tetapi tidak. Dia juga seorang
pelajar siswi sepertiku, di tahun akhir. Matang gaya tutur katanya. Dia turut
menyertai kursus AJK Surau itu, aku sebilik dengannya dan sahabat baiknya, Kak
Su.
“....cumanya, muslimat ni kalau boleh janganlah pakai tudung
transparensi.”
Tap, tersentap aku! Errk...apa maksudnya? Tudung jarang ke?
Aku melihat fabrik tudung yang aku pakai. Ya Allah...direct Allah bagi teguran.
Kata-kata terakhir Pengerusi AJK Surau sungguh menusuk hati kecilku. Sedikit
malu sebab diri ini sangat jahil, tudungku jarang rupanya.
Malam itu, di bilik hotel kami menginap. Sebelum kami
beradu, Kak Fi memanggil kami untuk berkumpul. Aku, Fitriah, Kak Fi dan Kak Su.
Di pertengahan sesi sembang malam itu, kami menceritakan
pengalaman masing-masing di alam persekolahan, kisah juga tujuan hidup dan sebagainya.
Antara perkara paling menyentuh hati aku adalah perkongsian
mengenai penampilan yang sempurna bagi muslimat. Kak Fi sangat menekankan
kepada kami mengenai penjagaan aurat. Waima kita duduk bersendirian, kita perlu
menjaga aurat kita.
“Kak Fi memang pakai tudung labuh, handsock dan stokin sejak
sekolah ke?” tanyaku.
“Ye Auni, Kak Fi memang berpenampilan macam ni sejak
sekolah.”
“Sekolah agama?” aku inginkan kepastian.
“Oh tak. Kak Fi sekolah harian biasa.”
Allah...Allah...insan terpilih. Kak Fi juga seperti aku,
persekitaran yang bukan secara sepenuhnya menjadi faktor penguat untuk sempurna
menutup aurat. Tetapi, dia boleh melakukannya demi maruah diri dan kehormatan.
Diterangkannya lagi, “Aurat kita ni perlu dijaga. Cara kita
bercakap juga. Usah bercakap kasar. Muslimah itu dijadikan dengan naluri yang
berlemah lembut. Adik-adik tahu kan, doa anak yang soleh solehah untuk ibu dan
bapanya, doanya diterima oleh Allah?”
Allah...tertunduk malu aku, sangat lain dengan apa yang
diperkatakan oleh Kak Fi.
Dan...aku berazam untuk mengubah sedikit demi sedikit akhlak
dan budi pekertiku, aku sayang ibu bapaku. Aku ingin doaku untuk kedua ibu bapaku antara yang dimakbulkan Allah. Juga aku ingin menggapai sekuat-kuatnya
Cinta Teragung, Cinta Ilahi.