Sunday, May 8, 2011

Forum "Tegaknya Rumah Kerana Tiang"



Keruntuhan akhlak pada masa kini kebanyakannya berpunca daripada aqidah yang goyah. Golongan remaja dilihat sering tersilap langkah bilamana lebih asyik mencari hiburan duniawi berbanding hiburan ukhrawi bagi mencapai hakikat sebenar kebahagiaan yang dicari. Oleh yang demikian, Persatuan Guru Pelatih Islam (PGPI) IPG Kampus Raja Melewar memandang serius akan isu ini dan meletakkan harapan supaya guru pelatih Islam sedar dan meyakini akan matlamat sebenar mereka sebagai hamba dan khalifah di atas muka bumi ini.

Legasi PGPI ingin menjemput semua warga IPG KRM untuk sama-sama menghadiri forum pemantapan aqidah yang bertajuk "Tegaknya Rumah Kerana Tiang". Forum ini diadakan seiring dengan usaha memantap aqidah Islamiyyah dalam kalangan guru pelatih agar mereka jelas akan matlamat hidup dan tidak mudah terpengaruh dengan budaya liar. Di samping itu, forum ini bermatlamat untuk mewujudkan suasana yang baik di IPG Kampus Raja Melewar serta menyuburkan budaya cintakan ilmu di samping berusaha untuk menjaga imej seorang guru pelatih. Guru pelatih merupakan bakal pendidik yang perlu menjadi contoh teladan yang baik khususnya kepada murid-murid serta masyarakat luar umumnya.

Tarikh : 9 MEI 2011 (Isnin)

Tempat : Balai Islam IPG Kampus Raja Melewar

Masa : 7.45 - 10.00 malam

Tentatif :

7.30 malam : Solat Maghrib berjemaah

7.45 malam : Forum “Tegaknya Rumah Kerana Tiang”

9.15 malam : Penyampaian cenderamata

9.25 malam : Solat Isyak berjemaah

9.45 malam : Jamuan

10.00 malam : Bersurai

Thursday, May 5, 2011

Anonymous

Hati adalah sumber ilham dan pertimbangan, tempat lahirnya cinta dan benci, keimanan dan kekufuran, taubat, ketenangan dan kebimbangan. Hati juga sumber kebahagiaan jika kita mampu membersihkannya namun sebaliknya ia merupakan sumber bencana jika kita gemar menodainya. Amalan yang dilakukan sering mempengaruhi pada lurus atau bengkoknya hati.

Abu Hurairah r.a. berkata,
"Hati adalah raja, sedangkan anggota badan adalah tentera. Jika raja itu baik, maka akan baik pulalah tenteranya. Jika raja itu buruk, maka akan buruk pulalah tenteranya"

Thursday, April 21, 2011

Beliau Bukan Muallaf

Menunggu kehadiran menggantikan takhta pimpinan bekas puan pengarah, Pn. Hjh. Asmah binti Yahya suatu yang mendebarkan. Siapa dia, dari mana asalnya, bagaimana corak pemikirannya dan cara kerjanya buat seluruh warga IPG KRM tertanya-tanya. Bukan apa, pengarah ibarat Naib Canselor, Pengetua, Guru Besar, ayah dan ketua bagi sebuah organisasi.

Saya tertarik dengan pemikirannya yang terbuka, amat open minded dalam mendepani tiap masalah. Menggunakan analogi bayang-bayang malah mendepani sendiri ’matahari’ agar bisa terus menerangi masa depan tiap insan.

Tiba-tiba, lahir pengakuan darinya. Mungkin kerana mendengar ramai yang bertanyakan perihalnya. “Saya merupakan seorang berbangsa melayu, dan nama ayah saya bukanlah menunjukkan saya ini muallaf.”

Sungguh, sebelum beliau membuat pernyataan tersebut, saya begitu terkesima, ucapannya didahului dengan salam dan selawat ke atas junjungan dengan penuh fasih. Dari rupa dan loghatnya yang seperti kelihatan kaum cina membuatkan saya begitu kagum. Lantas dalam hati saya berkata, biarlah dari bangsa apa pun beliau, yang pasti saya dan beliau seaqidah. Alhamdulillah.

Selamat Datang dan Selamat Kembali buat Tn. Hj. Musa bin Abdullah.

Sunday, April 17, 2011

Sifat sabar menurut cendikiawan Islam


SABAR adalah satu sifat manusia. Ia bererti menahan dan menanggung diri daripada perkara yang tidak disukai Allah kepada yang disukai atau menahan dan menanggung diri daripada yang disukai nafsu kepada yang disukai Allah. Berpandukan kepada pengertian itu, sabar adalah satu istilah yang mengandungi pelbagai makna dan nama.

Contohnya menahan diri di medan perang disebut berani (as-saja’ah), lawannya bacul (al-jubn), manakala menahan diri daripada suatu keinginan nafsu Arabnya disebut ‘dabtun nafs’ dan lawannya ‘al-batr’.

Sabar adalah senjata terpenting manusia, lebih-lebih lagi diri manusia sentiasa menghadapi pelbagai ujian. Dengan sifat ini membolehkan manusia mengatasi ujian dan mencapai kejayaan.

Banyak nas yang memerintah kita bersifat sabar, antaranya bermaksud: “Hai orang-orang beriman, bersabarlah dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap sedia (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung.” (Ali-Imran:200)

Cendekiawan membahagikan sifat sabar kepada beberapa jenis, iaitu:

1. Sabar terhadap kesusahan dan bala bencana yang menimpa pada manusia biasa, bahkan di kalangan nabi.

Antara yang dirumuskan al-Quran ialah sabar dalam bentuk ini termasuklah bersabar dengan kefakiran atau kelaparan, bersabar terhadap kesakitan, ketika peperangan dan ketakutan, kerana kehilangan wang, kehilangan jiwa dan harta benda.

2. Sabar terhadap keinginan nafsu yang menjadi urusan syaitan. Antaranya sabar atas tarikan dan runtunan nafsu yang rendah dan hina, termasuk bersabar dari menurut perasaan marah.

3. Sabar terhadap kemewahan. Ini termasuk bersabar terhadap kenikmatan orang lain, seperti orang kafir dan golongan taghut yang pada lahirnya nikmat tetapi pada batinnya adalah azab.

4. Sabar terhadap ketaatan yang sememangnya banyak halangan. Nafsu itu tabiatnya liar dan tidak suka kepada pengabdian, malah malas pula untuk melaksanakan amal ketaatan.

Kesabaran ini memerlukan tiga peringkat:

  • Sebelum dapat melaksanakan sesuatu ketaatan, perlulah memperbaiki niat dan ikhlas, sabar daripada riak yang merosakkan dan sabar untuk menguatkan keazaman.
  • Ketika mengerjakan ketaatan, hendaklah sentiasa berjaga dan berwaspada daripada faktor yang boleh melemahkannya.
  • Selepas mengerjakannya hendaklah bersifat sabar daripada melakukan suatu yang membatalkan amal ketaatannya.

5. Sabar terhadap kesusahan berdakwah ke jalan Allah. Dakwah ke jalan Allah adalah suatu usaha mulia dan suci. Ia adalah warisan daripada rasul dan nabi, mempunyai halangan dari musuh kebenaran dan kebaikan.

Harus diingat, dakwah kepada jalan Allah dan agama-Nya sangat bertentangan dengan keinginan dan hawa nafsu, dengan adat dan tradisi, keseronokan dan kerehatan, pangkat dan kedudukan, bahkan kekayaan dan kekuasaan.

Sumber : Harian Metro

via Kalam Abu Musaddad

Monday, April 11, 2011

Buah Tangan dari Ustaz Syaari buat Pelajar IPG


"Justeru, jangan jadi guru ‘bisu’. Cerahkan matahatimu kerana hati-hati yang hidup sahaja boleh menghidupkan hati-hati yang mati. Mulakan dakwah dari dirimu terlebih dahulu, barulah diperturunkan pada anak muridmu. 75 % keberkesanan pengajaran bukan apa yang pelajar dengar dari anda sahaja dalam kelas, tetapi apa yang mereka dengar dan LIHAT dari anda. The actions always talk louder than voice."

Baca lanjut :


Thursday, March 31, 2011

What I've learned...(PART 2) : Sisi Hidup Seorang Bakal Guru

Seorang guru memerlukan persiapan emosi, spiritual, fizikal dan juga intelek untuk memulakan sesuatu pengajaran. Secara praktikalnya, menjadi seorang guru tidak dapat lari dari kepenatan, kepayahan dan pengorbanan, namun membuahkan rasa kemanisan yang tak terungkap. Rasa kepuasan, rasa berbaloi...itulah yang mungkin jarang dirasai oleh profesion lain.

Cuba bayangkan, gurulah mengajar, gurulah pelakon, gurulah penyanyi, guru adalah pengarah program, gurulah atlet dan guru jugalah akauntan! Secara umumnya, tidak keterlaluan saya katakan, segala penat lelah seorang guru perlulah bersandarkan keimanan kepada Allah S.W.T serta tawakal kepadaNya. Tanpa tawakal padaNya, segala yang dirancang bisa sahaja tidak terlaksana jika tidak diizinkanNya meskipun perancangan yang rapi telah dilakukan.

Guru itu juga secara tulusnya amat dekat dengan Sang Pencipta. "Hanya hati yang ikhlas berjaya menyentuh hati lain." Ayat ini penuh azimat diungkapkan oleh seorang sahabat. Benar, seorang guru perlu ada roh untuk mendidik. Bukan hanya talk and chalk. Seorang guru bukan hanya mengajar teori, tetapi juga mendidik "jiwa" insan kecil. Katakan apa sahaja kemahiran dan ilmu yang tidak pernah didengari oleh anak murid, jika kena cara dan gayanya, ilmu itu akan diingati sampai bila-bila. Sehingga kini saya masih ingat apa yang diajar oleh guru bahasa Melayu sewaktu sekolah rendah. Meskipun ilmu tersebut bukanlah sebahagian daripada silibus, tetapi saya amat mengingatinya sehingga kini. "Kalau kamu sakit mata akibat masuk habuk, jangan gosok atau 'tenyeh', ia akan menjadi semakin teruk. Tapi, hanya usap 2 kali menggunakan 2 jari dari arah atas ke bawah dalam keadaan mata tertutup." Alhamdulillah, banyak kali juga saya praktikkan dan ianya berkesan.

Hasil perkongsian pengalaman bersama seorang senior, baginya mengajar memang suatu tanggungjawab yang berat, bersama penyediaan RPH (Rancangan pengajaran harian), dan ABM (Alat bantu mengajar). Tidur selepas jam 12.00 malam sudah menjadi perkara biasa bagi guru pelatih yang berpraktikum. Sehinggakan sewaktu tidur dan mandi boleh terlintas 'apa yang akan diajar pada keesokannya harinya'. Begitulah komitednya seorang guru atas amanah yang telah diberikan. Tidak cukup sekadar itu, kebiasaannya guru tidak dapat lari dari menerima tanggungjawab seperti mengendalikan program sekolah. Mendahulukan wang sendiri tidak menjadi alasan bagi mereka, asalkan sahaja program berjalan dan murid-murid mendapat manfaatnya.

Guru yang masuk ke kelas tanpa persediaan mengajar akan mudah hilang fokus dan berkemungkinan murid berasa bosan. Mengajar kanak-kanak prasekolah lebih-lebih lagi. Naluri mereka memang gemar bermain, guru juga harus kreatif dalam mempelbagaikan teknik pengajaran supaya mereka tidak beranggapan bahawa belajar ini hanya menghadap buku , tetapi mencakupi seluruh aspek pemerolehan ilmu.

Kemahiran, ilmu dan sikap (SKA) merupakan pakej lengkap bagi seorang guru (Pn. Shamsinah Hashim, Pensyarah Jabatan Ilmu Pendidikan). Kawalan kelas juga penting bagi menentukan keberkesanan proses P&P tersebut. Secara jujurnya, saya semakin mengenali dunia pendidikan bahawa mengawal sikap manusia itu memerlukan kemahiran yang cekap kerana manusia mempunyai 1001 ragam. Tidak sekadar itu, ketenangan dan kesabaran dalam pengendalian kelas itu perlu. Saya berpendapat bahawa profesion perguruan adalah antara profesion yang memerlukan pekerjanya banyak beristighfar kerana perlu berhadapan dengan sikap manusia, bukan sebuah mesin!

Ternyata, mendengarkan kisah bakal guru ini membuatkan saya insaf. Saya perlu bermula dari sekarang untuk melengkapkan diri dengan SKA. Saya semakin teruja untuk berjumpa dengan anak murid!

Set induksi merupakan langkah penting bagi menyuntik sifat ingin tahu murid-murid dalam proses P&P


Wassalam,
Auni Diyanah (AD), PISMP SN SEM 3.

Sunday, March 27, 2011

What I've learned

Pagi itu, berselimutkan kedinginan aku bangkit. Harapan demi harapan, semoga hari ini lebih baik dari semalam. Semekar semangat yang telah disemai bertahun lamanya, menunggu tunas yang subur dan meranum, memang lama. Sabarlah duhai hati. Namun, jadikanlah setiap pengalaman dan liku-liku hidup yang telah dijalani sebagai panduan untuk menghadapi pertumbuhan yang seterusnya. Untuk gagal itu mudah, tetapi untuk berjaya itu lebih mudah! Jangan biar masa terbuang, suatu yang merugikan (Prof. Dr. Muhaya). Kejayaan demi kejayaan aku amati, mungkin sahaja itu hanya kenangan atau tidak mustahil kan berulang. Semuanya, terletak pada hati.


Inspire me a lot

Mereka, amat aku rindui. Inilah sunnah berjuang menuntut ilmu. Diuji dengan perasaan rindu terhadap keluarga, sanak saudara. Tambahan pula aku semakin meningkat dewasa. Semakin rancak perbualan dengan saudara perempuan, lebih-lebih lagi. Entah apa sahaja yang diborakkan, sehingga kadang-kala mencecah 2-3 pagi, membuatkan si ayah menjenguk, apa sahaja yang menyebabkan anak-anaknya tidak tidur lagi walaupun masing-masing akan menziarahi sanak saudara pada keesokan paginya bagi meneruskan tradisi ziarah-menziarahi dan bermaaf-maafan. Itulah kehidupanku, aku dimatangkan oleh mereka kebanyakannya. Pengkongsian hidup mereka membuka mata tentang kehidupan. Kesusahan yang dialami ayahbonda membesarkan kami, inilah hasilnya. Semuanya dalam darah didikan 'seorang guru' yang garang di mata masyarakat. Tetapi amat dirindui tatkala hari persaraannya. Di sisi guru tersebut, sebatang tubuh yang tidak pernah kenal penat lelah membantunya mencari punca rezeki sekecil-kecil bercucuk tanam sehinggalah berjual beli. Benar kata Rasulullah, 9 daripada 10 punca rezeki datangnya dari perniagaan.

Kejayaan demi kejayaan dikecap mereka, suka aku melihatnya. Memberi semangat kepadaku untuk terus bangkit. Aku tiada alasan untuk gagal! Melihat bakal anak-anak muridku, menjadikan aku teruja dan tidak sabar-sabar untuk mencurahkan segala ilmu buat mereka. Seorang guru, perlu ada kekuatan rohani, ilmu yang mantap dan kemahiran yang cekap bagi keberkesanan suatu perjalanan proses memberi dan menerima ilmu. Itulah yang dapat kukutip hasil pembelajaran formal dan tak formal.

Merenung tiap mata anak-anak kecil, seribu harapan yang mereka ingin capai. Mungkin aku antara sejuta guru yang boleh membantu mereka, mengenali erti penghidupan ini. Yang akan kita semai dengan benih-benih kebaikan, dituai juga dengan benih-benih kebaikan di pengakhiran hidup, di alam yang kekal abadi. InsyaAllah. Mohon doa semua agar perjalanan hidupku ini dipermudahkanNya. Semoga sentiasa dalam keberkatan Ilahi.