Monday, April 11, 2016

Jurnal Ummu Rashid 1.0

Setengah jam pertama di wad, keadaan Rashid sangat lemah...dan berterusan muntah...pada kiraan saya lebih 8 kali...tapi, saya yakin dan berdoa agar Rashid terus kuat dan cepat pulih. Saya teruskan penyusuan seperti biasa untuk bantu tingkatkan imunisasinya. Pantangnya, jangan diberikan minuman atau makanan yang diproses. Memang akan terkeluar semula.

Si ibu, benar doanya tiada hijab buat si anak. Untuk berikan motivasi buat anak, ibu juga haruslah kuat semangat terlebih dahulu. Ini tarbiah luarbiasa buat semua ibu yang menerima ujian yang sama.

Alhamdulillah, sehari sahaja ditahan di wad. Doktor beritahu, kebiasaannya, kanak-kanak ambil masa 3 hari untuk pulih sepenuhnya.


Air mata ni hilang bila doktor dan nurse hilang daripada pandangannya

Jurnal Ummu Rashid 2.0

25.02.16

Pulang dari sekolah, terus ke rumah bs untuk ambil rashid. 

Diberitahu oleh bs rashid muntah² banyak kali. Memang nampak lemah keadaannya, bukan seperti rashid yang biasa. Bila dipanggil namanya, hanya mampu kedengaran 'hmm'...

Dalam perjalanan pulang, macam² fikir apa yang perlu dilakukan seterusnya.

Mujur kami pulang awal, mulanya cadang nak dibawa ke klinik taman scientex disebabkan servis di sana terbaik menurut rakan², tapi bila sampai tahap muntahnya dah kekuningan, kami terus ambil medical card rashid, siapkan barang keperluannya dan bawa ke Hosp Pakar Regency.

Alhamdulillah, tak ramai orang, kami terus ke emergency. Check suhu, jumpa doc...doc suggest masuk wad sebab badan lemah sangat, perlu drip air. Hasil x-ray semuanya normal, cuma bacaan sel darah putih x normal.

Kami akur keputusan doc, lepas beberapa jam drip air, rashid berubah seperti sediakala, cergas. Alhamdulillah, cuma masih muntah². Bermalamlah kita di hotel regency ye rashid.

Mujur ready medical card, nak jadikan cerita...mujur saja mc rashid tak lapse...dan ummi pun dah settlekan payment bulan² rm130 hingga mac.

Alahai, ini tarbiah namanya. Kot la sape mampu nak bayar cash bill hospital sampai rm2k++...anyway, thanks a lot agen takaful rashid Hadi Rusdi Azwan Naim...depa byk tolong...


Muka ni hepi lepas kena drip air...beza sungguh...alhamdulillah, semua dah stabil

Wednesday, April 6, 2016

Jom ke Branch

Tadi ada orang teman ummi pergi restock barang di branch
=========

Alhamdulillah, menderu-deru order masuk hari ini.

Lepas balik sekolah, bersiap-siap then ke rumah babysitter ambil si anak syurga.

Sebelum gerak tiba-tiba mak ani datang nak hantar baju dan ambil juwita foundation. Sorry mak ani kejap je tadi datang tak sempat borak-borak lama.

Di branch tadi kebetulan ramai customer, jadi agak lama di situ. Riuh branch dengan lontaran suara emas Rashid, siap jumpa kawan baru. Main-main sampai dah nak balik, macam dan kenal lama.


Sebelum jumpa kawan baru


Pilih-pilih, tickkan nak vitamin mana


Monday, September 7, 2015

Tips Pantas Bagi Wanita Bekerjaya

Tidak dinafikan betapa bahagianya seorang perempuan kerana boleh menjadi isteri dan ibu bekerjaya dalam masa yang sama. Biasanya isteri/ibu adalah orang pertama yang bangun pagi dan dia jugalah yang terakhir akan tidur malam. Banyak perkara yang hendak diuruskan, dari keperluan suami, anak-anak hinggalah hal berkaitan rumah tangga - semuanya sama penting.

Di sini saya ingin kongsikan Tips Pantas Mengurus Bagi Ibu Bekerjaya :

Tips menyediakan makanan

- Untuk sarapan pagi : sediakan menu ringkas berasaskan roti  seperti roti bakar, sandwic, telur hancur, telur separuh masak, bijirin bersama susu atau nasi goreng.
- Bagi memendekkan waktu memasak, pastikan semua bahan masakan disediakan lebih awal. Buat stok cili kisar, segala bawang, daging, ayam, ikan siap disiang dan dinyahbeku.
- Masak hidangan lauk yang mudah dimasak seperti ikan stim, isi ayam masak masam manis, daging masak kicap atau ikan goreng. Untuk sayur pula, tumis, masak sup atau salad sayuran.

Tips menggosok pakaian 

- Gosok pakaian pada hujung minggu untuk kegunaan seminggu.
- Gantung pakaian yang sudah digosok berasingan bagi mengurangkan kedutan.

Tips mengemas rumah 

- Sapu dan kemas barang-barang yang bersepah setiap hari.
- Kemas rumah setelah anak-anak kecil tidur bagi mengelakkan mereka membuat sepah lagi.
- Di hujung minggu, buat jadual mengemas yang berat seperti vakum, mop lantai, cuci bilik air dan mengelap habuk almari.
- Sediakan bakul atau tempat menyimpan barang mainan anak supaya lebih teratur dan mudah disimpan.

Tips mencuci pakaian

Cuci pakaian kotor dan setiap hari untuk mengelakkan daripada mencuci terlalu banyak pada waktu cuti dan terus sidai sebelum masuk tidur.
- Lipat pakaian kering segera dengan bantuan suami dan anak-anak untuk mengelakkan ia bertimbun lebih banyak dan berkedut.

Sumber : Majalah Pa&Ma

Sumber http://www.ciklaili.com/2013/05/tip-pantas-mengurus-bagi-ibu-bekerjaya.html#ixzz3l33xTwBy

Thursday, August 1, 2013

Istikharah Cinta

Shafiqah berjalan ke arah meja sambil mencapai beg kuliahnya.

"Kau nak ke mana iqa?"

"Aku nak ke library, cari bahan untuk tesis. Tadi aku jumpa supervisor. Dia kata aku kena tambah sikit lagi sumber bahan bercetak."

"Oh...okay. Err...jangan balik lewat sangat tau."

"Okay. Eh Fifi, kau keluar makan tak petang ni? Nak kirim?"

"Erm...takpelah, aku kurang selera."

Shafiqah mendekati sahabatnya itu. "Kau kenapa Fifi?"

"Tak ada apa."

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Satu demi satu buku mengenai Neurolinguistic Programming diselak Shafiqah di rak buku library.

Kenapa dengan Fifi? Masalah apa yang sedang dihadapinya? Ditanya tak berjawab. Fifi tak semacam dahulu, ceria, ramah, ada sahaja isu-isu semasa yang cuba dikongsikan dengan kami. Tadi, sepatah aku tanya, sepatah dia jawab. Makan pun tak lalu. Muka dia nampak cengkung. Masalah family ke? Kenapa dengan Fifi sebenarnya? Tak boleh jadi ni, dah la kat hostel tu dia seorang diri.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

"Assalamualaikum."

"Walaalaikumussalam. Eh, iqa. Cepat kau balik?" cepat-cepat Fifi menyembunyikan buku yang sedang dibacanya di bawah bantal.

"Yup. Aku dah jumpa bahan yang aku nak cari tu."

Shafiqah mendekati Fifi.

"Boleh aku tanya kau sesuatu?"

"Ye, tanya je la. Kau ni, pelik pulak aku. Nak tanya pun kena minta izin."

"Tak. Aku tak pelik. Kau tu yang pelik Fifi. Kau ada masalah ke?"

"Kenapa kau tanya macam tu? Aku okey je la."

"Kau jangan nak sembunyi-sembunyi dari aku la. Aku kenal kau bukan sehari dua tau. Kau buat muka ke, kau tak cukup duit ke, kau ada masalah kesihatan ke, kitorang serumah dapat nampak perubahan tu. Tapi kali ni, kau lain sangat."

"Ish, tak ada apa la. Dah la aku haus nak minum."

Fifi berlalu meninggalkan Shafiqah yang terpinga-pinga di bilik seorang diri. Seketika kemudian, Fifi hilang dari pandangan Shafiqah.

Di bilik, Shafiqah cuba mengambil buku yang disembunyikan oleh Fifi tadi. Mungkin Fifi terlupa bahawa Shafiqah perasan akan perbuatannya.

"Istikharah Cinta? Dilamun cinta ke kawan aku ni? Seingat aku dia ni hati kering."

++++++++ bersambung ++++++++






Sunday, July 28, 2013

4 Hari 3 Malam

“Sekarang, majlis menjemput Pengerusi AJK Surau bagi Sesi 2007/2008 menyampaikan sepatah dua kata.”

Saudara Amir Amsyar menyusun langkah dengan tertib menuju ke rostrum.

“Bismillahirrahmanirrahim...” Beliau memulakan bicara. Aku memang tidak begitu mengenali rakan-rakan PST, lagi-lagi muslimin ni. Sejak keberadaanku di kampus ini, sedikit sebanyak mengubah gaya fikir dan penampilanku. Terlibat dengan organisasi surau mengajarku sedikit sebanyak tentang adab pergaulan, penampilan sebenar bagi muslimat, ukhwah Islami, pengurusan organisasi dan 1001 lagi pengalaman dan ilmu baru yang tidak mungkin dilupakan.

Aku memikirkan tugasan-tugasan tutorial yang masih berbaki ditinggalkan di bilik hotel. Aku tidak menyangka aku akan berada di Hotel Bella Vista, Langkawi pada saat dan ketika ini. Kami berkursus selama 4 hari bermula Khamis sehingga Ahad.

Perasaan? Allah sahaja yang tahu. Memang semenjak kecil aku tidak pernah mengikuti kursus seislamis begini. Paling aku ingat aku pernah menyertai kursus kepimpinan sempena kokurikulum di Melaka. Ala-ala ketenteraan begitu.

Terpinga-pinga aku di buatnya, macam mana aku boleh terlibat dengan AJK Surau ni? Ya...malam itu, malam Allah menjentik taufiq dan hidayah ke dalam hatiku. Mana mungkin aku lupakan. Sesi taaruf oleh Pengerusi AJK Surau Muslimat, Kak Fi di surau Blok B. Oh, sungguh bersopan santun dan bijak orangnya, semangat dakwah yang tinggi dan tidak pernah berputus asa. Mulanya aku menyangka dia adalah seorang pensyarah, tetapi tidak. Dia juga seorang pelajar siswi sepertiku, di tahun akhir. Matang gaya tutur katanya. Dia turut menyertai kursus AJK Surau itu, aku sebilik dengannya dan sahabat baiknya, Kak Su.

“....cumanya, muslimat ni kalau boleh janganlah pakai tudung transparensi.”

Tap, tersentap aku! Errk...apa maksudnya? Tudung jarang ke? Aku melihat fabrik tudung yang aku pakai. Ya Allah...direct Allah bagi teguran. Kata-kata terakhir Pengerusi AJK Surau sungguh menusuk hati kecilku. Sedikit malu sebab diri ini sangat jahil, tudungku jarang rupanya. 

Malam itu, di bilik hotel kami menginap. Sebelum kami beradu, Kak Fi memanggil kami untuk berkumpul. Aku, Fitriah, Kak Fi dan Kak Su.

Di pertengahan sesi sembang malam itu, kami menceritakan pengalaman masing-masing di alam persekolahan, kisah juga tujuan hidup dan sebagainya.

Antara perkara paling menyentuh hati aku adalah perkongsian mengenai penampilan yang sempurna bagi muslimat. Kak Fi sangat menekankan kepada kami mengenai penjagaan aurat. Waima kita duduk bersendirian, kita perlu menjaga aurat kita.

“Kak Fi memang pakai tudung labuh, handsock dan stokin sejak sekolah ke?” tanyaku.

“Ye Auni, Kak Fi memang berpenampilan macam ni sejak sekolah.”

“Sekolah agama?” aku inginkan kepastian.

“Oh tak. Kak Fi sekolah harian biasa.”

Allah...Allah...insan terpilih. Kak Fi juga seperti aku, persekitaran yang bukan secara sepenuhnya menjadi faktor penguat untuk sempurna menutup aurat. Tetapi, dia boleh melakukannya demi maruah diri dan kehormatan.

Diterangkannya lagi, “Aurat kita ni perlu dijaga. Cara kita bercakap juga. Usah bercakap kasar. Muslimah itu dijadikan dengan naluri yang berlemah lembut. Adik-adik tahu kan, doa anak yang soleh solehah untuk ibu dan bapanya, doanya diterima oleh Allah?”

Allah...tertunduk malu aku, sangat lain dengan apa yang diperkatakan oleh Kak Fi.

Dan...aku berazam untuk mengubah sedikit demi sedikit akhlak dan budi pekertiku, aku sayang ibu bapaku. Aku ingin doaku untuk kedua ibu bapaku antara yang dimakbulkan Allah. Juga aku ingin menggapai sekuat-kuatnya Cinta Teragung, Cinta Ilahi. 

Friday, July 26, 2013

Hujung Minggu Itu

Pagi itu aku bersama seorang sahabat, Yusniza berjogging bersama di sekitar tasik yang menjadi tumpuan para siswa siswi melegakan tekanan di minda setelah berhari-hari, pagi petang hingga ke malam menelaah pelajaran.

Berjalanlah kami berdua.

Berkongsi cerita dan kisah hidup.

Nyata, aku dan dia berbeza. Dia terlalu baik dan berlemah lembut ketika berbicara. Malu aku padanya.

Sampai di satu penjuru, kami terpandang pada seseorang yang menarik perhatian hati kami.

'Kak Fi!'

 Benar, orang yang biasa-biasa jika berakhlak mulia, indah tutur kata, pasti akan menarik mad'u-mad'u dekat padanya. 


Berdekatanlah kami antara satu sama lain, bersalaman mesra. Bertanya khabar.

Kami meneruskan perjalanan *jogging* mengelilingi tasik buatan tersebut sambil berbual mesra.

Besar juga keluasan tasik tersebut. Di tengah-tengahnya terdapat sebuah menara. Menara dan tepian tasik tersebut disambungkan oleh dua utas tali yang besar bagi memudahkan untuk para pelajar ke menara tersebut. Satu untuk memegang, satu lagi untuk menapak menuju ke menara. Ada jambatan yang menghubungkan tepian ke menara, tetapi Kak Fi dan sahabat-sahabatnya memilih untuk menggunakan tali tersebut.

Aku melihat Kak Fi dan sahabat-sahabatnya menyeberangi tasik tersebut menggunakan tali yang tersedia.

'Beraninya dia, rasanya dalam juga tasik ni. Mungkin juga ada buaya,' getus hati kecilku.

Kak Fi dan sahabat-sahabat sudah tiba ke menara.

"Zaiton nak cuba?" tanya Kak Fi kepadaku.

"Err...takpe lah Kak Fi. Tak berani la."

"Kami boleh, mesti Zaiton pun boleh. InsyaAllah, yakin!"

Aku menyahut cabaran itu, aku menapak ke atas seutas tali. Tali yang berada di atas kepalaku, ku pegang.

Satu persatu, kakiku melangkah. Menggigil juga. Sesekali ku pandang ke bawah. Macam mana kalau terjatuh ni? Ya Allah, takutnya. Aku tawakal je ni, andai umurku panjang, aku sampai ke menara dan berjaya patah balik semula ke tepian tasik. Andai tidak, Ya Allah...kepadaMu hanya ku berserah.

"Boleh, Zaiton boleh!" kata-kata Kak Fi dan sahabat seolah-olah memberi suntikan semangat yang luar biasa. Sempat aku berdetik di hati. Kuat betul semangat Kak Fi, muslimah hebat ni.

Tup tup, aku tak perasan dah sampai ke menara.

"Kan, dah sampai.."

Tersenyum puas aku.

"InsyaAllah Zaiton, kita kena yakin diri. Banyak perkara yang kita rasa mustahil nak buat, sebenarnya kita boleh capai."

Muslimah tidak lemah. Tapi lemah lembutnya adalah kerana semangat yang tidak mudah luntur!