Anakandaku Auni Diyanah
Surat ini ibu tujukan khas buatmu
Bukan tujuan ibu untuk menekanmu
Tetapi, bacalah demi masa depanmu
seandainya ibu tiada lagi di dunia fana ini.
Seharusnya kau tahu,
Hidup ini ibarat pilihanraya,
Bukan sekali, bukan 2 kali,
Bukan tatkala kau memilih
Mahu bersekolah di asrama ataupun sekolah harian
Mahu belajar di dalam atau di luar negara
Mahu bekerja di sektor kerajaan atau swasta
Mahu mengahwini kerana hartawan atau rupawan
Tetapi, anakku, lebih dari itu.
Ia berkenaan pahala dosa,
Baik buruk,
Halal haram.
Anakku,
membuang undi untuk memilih satu dari keduanya
Perlukan iman di dada
Cuba kamu tempatkan dirimu
Di sebelah nafsu sebagai temanmu
Mana yang ingin kamu pilih
Kini, kamu tempatkan dirimu
Sebelah iman sebagai pendamping dirimu
Sudah pasti kamu memilih yang dapat menyelamatkanmu dari azabNya
Anakku,
AzabNya amatlah pedih
Seluruh kepanasan di bumi ini hanyalah sedikit percikan api neraka
Tahankah dirimu andai dicampakkan ke dalam api neraka?
Tahankah diri jika di dunia kamu mendedahkan auratmu?
Tahankah diri jika di dunia kamu menderhakai ibu dan ayah?
Tahankah diri jika di dunia kamu melanggari perintah Tuhan?
Anakku,
Ibu khuatir, di dunia ibu masih boleh mengingatkan dirimu
Tetapi di alam sana, kamu keseorangan,
Hanya amalanmu di dunia yang bisa menyelamatkanmu.
Anakku,
Dunia ini hanya persinggahan,
Tanamlah sebanyak-banyaknya
Moga kelak kamu bisa menuai sebanyak-banyaknya,
Tetapi anakku, ramai abid yang tenggelam di dalamnya,
Akibat ujub, riyak dan menyombong diri,
Maka itu, IKHLAS itu menjadi kunci atas setiap tindakanmu di dunia.
Pesan ibu, perbaikilah sentiasa syahadahmu, semuanya hanyalah keranaNya.
Anakku,
Dunia ibarat fatamorgana,
Dilihat indah, tetapi hakikatnya hanya sia-sia,
Berwaspadalah terhadap tipu dayanya,
Usah jadikan syaitan dan nafsu sebagai temanmu,
Ingatlah bahawa mereka musuhmu yang nyata!
Usah biar mereka berteriak tatkala kau merelakan adam menyentuhmu dengan cara haram!
Jagalah iman, jagalah hatimu Auni Diyanah,
Lembutmu bukan beerti kau lemah.
Tetapi penuh ketegasan.
Anakku,
Tuntutlah seberapa banyak ilmu
Berjalanlah di muka bumi ini
Kerana ilmu Tuhan takkan pernah habis
Dengan ilmu kau tak mudah ditipu
Tingkatkanlah iman dan amal dengan memenuhi ilmu di dada.
Ingatlah pesan ibumu ini anakku,
Mungkin esok, lusa ibu akan pergi.
Jagalah solatmu,
Jagalah solatmu,
Jagalah solat, auni.
Ia lambang keteguhan agama dalam dirimu.
Hak cipta terpelihara : www.anamusleh.blogspot.com
No comments:
Post a Comment