Tuesday, December 6, 2011

Boleh ke “couple?”

Beberapa hari yang lalu saya telah didatangi soalan daripada seorang mahasiswi di salah sebuah IPTA. Lebih kurang begini soalannya “Kak, mcm mana ye nak tarbiyah adik yang couple?”
Terhenti saya membaca sms tersebut, memikirkan bagaimana mahu memulakannya agar setiap mesej/jawapan yang ingin disampaikan tercapai matlamatnya. Sudah lama saya tidak brainstorm secara kritikal mengenai isu ini. Paling saya ingat, beberapa tahun dahulu setelah saya mengkhatamkan novel Tautan Hati, cerpen Seindah Mawar Berduri, Cintaku Setelah Allah dan Rasul yang semuanya tulisan Ustazah Cinta, Kak Fatimah Syarha. Beliau, serahlah padanya untuk membicarakan soal hati. Ternyata ramai yang tersentuh hati melalui tulisannya. Termasuk saya. Hatta puisi, bait-bait kata terus ke qalbu. Antara puisi beliau yang pernah saya terjumpa di Majalah Solusi :
FATIMAH SYARHA MOHD NOORDIN
~ Buatmu yang merindui Hidayah~
Kutitipkan di sini sebuah nukilan yang mungkin mewakili bicara hatimu saat ini…
KU MENCARI
Puas sudah,
Ku cari kebahagiaan,
Di sisi teman-teman,
Kudapat hanya kelalaian.

Ku cari lagi,
Di hati seorang kekasih,
Ku dapat hanya kekecewaan,

Dan kuterus mencari,
Dalam meniti hari,
Penuh kekosongan.
Oh, di mana lagi harus kumencari,
Membawa sekeping hati,
Yang sarat kerinduan,
Rindu yang tiada haluan.

Aku keliru sendiri,
Apa yang ku cari,
Apa yang ku perlukan,
Aku masih tak bisa mengerti,
Yang pasti,
Kekosongan hati ini minta diisi.
Sejenak ku tersedar,
Aku mencari cinta agung,
Buat jiwaku yang merindukan,
Hakikat kebenaran,
Cahaya yang membelah kegelapan,
Melimpah cemerlang mengisi kekosongan.

Couple
Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan couple itu?
Remaja dan couple seumpama tidak boleh dipisahkan. Dan amat pelik apabila seorang remaja itu tidak mempunyai gewe/cewek, cukuplah, saya tak mampu mengulas panjang terhadap isu couple ini. Ianya memerlukan perbahasan yang panjang. Semua sedia maklum ianya dilarang di sisi Islam.

Tetapi ada jenis couple yang halal
Pulak dah.
Tadi kata haram, la ni halal pulak.
Saya mengajak anda semua pergi ke perspektif yang lebih luas.
Saya memahami couple itu halal kerana couple itu bermaksud ‘berpasangan’. Ibu dan bapa kita juga couple. Kakak kandung kita dan suaminya, merupakan pasangan bercouple. Begitu juga sanak saudara kita yang lain yang sudah berumahtangga juga merupakan ‘couple yang halal’. Jadi, secara hakikatnya, couple itu halal setelah kedua pasangan sah diijabkabulkan. Itulah yang dikatakan sebenar-benar couple.
Berbalik kepada persoalan mesej tadi. Minda saya ligat berputar mencari hujah dan pandangan bagi meyakinkan mahasiswi itu untuk menegakkan amar ma’ruf nahi mungkar dalam keluarganya. Sungguh, situasi tegur menegur ini memerlukan tadhiyyah(pengorbanan) dan jihad yang kuat di samping rahmat Allah SWT. Ia ternyata sukar dilakukan jika hati tidak tabah. Kesan teguran mungkin sahaja memberi kesan yang berlarutan antara keduanya, daie juga mad’u. Bukan sahaja dalam isu couple ini, malah aurat, ikhtilat dan bermacam lagi. Pelbagai teknik perlu dipelajari dan pengalaman perlu dibina dari semasa ke semasa agar usaha dakwah itu berkesan tanpa mengeruhkan lagi keadaan sebelum matlamat tercapai. Hati kedua-dua pihak perlu dijaga lebih-lebih lagi mad’u itu adalah dari keluarga terdekat. Walaubagaimanapun dakwah pasti punyai tentangannya. Itu sunnatullah.

Tegur-tegur sayang
Merujuk kepada cara dakwah Rasulullah SAW, dakwah itu mestilah berhikmah. Berhikmah bukan sekadar teguran yang lembut, tapi boleh dipelbagaikan melalui berbagai cara termasuklah dakwah melalui teladan. Rasulullah SAW merupakan contoh teladan yang terbaik sepanjang zaman. Dakwah bil hal. Tidak hairanlah ramai dalam kalangan masyarakat kafir quraisy dan para sahabat memeluk ISLAM lantaran sikapnya yang sabar dan tidak pemarah.
Saya fokuskan di sini dakwah kepada ahli keluarga terdekat bagi menyelamatkan maruah adik perempuan yang sakan bercinta seawal usia belasan tahun. Mad’u tersebut sakan bercinta meskipun tahu ianya dilarang di sisi Islam. Cadangan saya kepada ukhti tersebut, kalau adik tu jenis yang lembut hatinya, boleh cuba slow talk, tetapi jika sebaliknya, guna pendekatan yang halus. Sesuai dengan kemajuan teknologi, gunakan segenap medium yang ada untuk tujuan dakwah termasuklah facebook, blog, vlog dan sebagainya. Dengan memberi contoh facebook sebagai medium dakwah, jika adik itu mempunyai facebook, si kakak perlulah kerap post gambar-gambar yang mengatakan manisnya bercinta selepas nikah atau bahayanya bercinta sebelum nikah. Dan seboleh-bolehnya kurangkan menyatakan bahawa ‘Couple itu haram’. Bagi mereka yang sedia maklum tentang larangan bercouple dalam Islam, mungkin akan merasa bosan dengan pernyataan ini dan akan menganggap sebagai ‘angin lalu’ tanpa terakam di minda sedikit pun.
Suka saya berkongsi satu kisah seorang penceramah, katanya dalam mana-mana talk cinta, beliau tidak pernah menyatakan sekalipun bahawa ‘Couple itu haram’ tetapi hanya memasukkan cara yang terbaik untuk menguruskan perasaan cinta itu. Alhamdulillah, respon yang positif daripada audiens banyak diterima hasil talk tersebut.
Dalam pada masa ukhti itu berusaha untuk menegur adiknya, saya turut menekankan pergantungan harapannya pada Yang Esa agar adiknya dilembutkan hati untuk menerima kebenaran. Perkara ini merupakan tunjang kekuatan dalam menyeru umat ke arah cahaya kebenaran. Hati mad’u adalah milik Allah dan hanya layak ditentukan oleh Allah untuk menerangi ataupun tidak, sebaliknya daie hanya berusaha ke arah itu.
Di samping itu, UKHWAH di antara daie dan mad’u perlulah dijaga agar hubungan yang erat tetap utuh, seterusnya memudahkannya untuk menyampaikan mesej-mesej kebenaran. Buatlah apa cara sekalipun sehinggakan adik itu menganggap Si Kakak sebagai seorang rakan baik yang boleh menjadi pendengar yang setia tidak kira masa dan keadaan.

Diajak menemani keluar berdating
Tidak dinafikan ada yang sanggup mengajak adik-beradik keluar untuk menemaninya berdating. Ini bukan bagi kes yang dalam tempoh ingin melangsungkan pernikahan dan mempunyai tujuan penting. Perbahasan bagi kes ini panjang. Anda bolehlah melawati laman web ini bagi mengetahuinya lebih lanjut dan bertanyakan soalan-soalan berkaitan. Motivasi Cinta Bersyariat.
Saranan saya kepada ukhti tersebut, maklumkan kepada kedua ibu bapanya dengan harapan cara yang lebih baik digunakan demi menyelamatkan maruah seorang gadis. Mungkin si ibu sendiri boleh slow talk dengan pasangan yang sakan bercinta ini yang masih di bangku persekolahan.

Langkah yang terbaik
Jika sudah sampai ke tahap kritikal, mungkin adik itu perlu ditarbiyah semula dari peringkat permulaan. Tetapi perlulah secara berperingkat agar mad’u tidak terkejut dan menolak segala kebenaran yang cuba disampaikan. Perasaan cinta itu memang fitrah manusia dan orang yang bijak adalah orang yang dapat menguruskan perasaan itu dengan sebaiknya. Bukan menyalurkan rasa cinta itu kepada pasangan yang bukan muhrim pada masa yang tidak sesuai. Selayaknya, janganlah menodai zaman remaja yang ada. Jangan terlalu terburu-buru dalam membuat keputusan sebaliknya tanyalah pada mereka yang lebih arif dan lebih matang dalam mendepani kehidupan. Bercinta sebelum bernikah adalah merupakan tindakan yang sia-sia dan seumpama membazir masa kerana hanya Allahlah penentu hidup kita. Jalan yang terbaik adalah berdoa. Jika benar rasa cinta itu hadir, peliharalah ia daripada noda dan biarlah hanya Allah dan diri sendiri yang mengetahuinya. Simpan dan jagalah agar ia kan hadir sebagai sebenar-benarnya cinta yang suci, ia kan terbukti setelah akad pernikahan (Fatimah Syarha).

Kesan
Melalui pemerhatian saya, hati pasangan yang sakan bercinta akan mudah lalai, seterusnya fokus akan mudah hilang terhadap amanah sebagai seorang anak, pelajar, pemimpin pelajar dan sebagainya. Hal ini amat bahaya kerana hati yang gelap akan menyukarkan seseorang untuk menilai antara yang benar dan yang palsu. Maka itu tidak hairanlah jika ada di antara pelajar-pelajar sekolah yang belajar bersungguh-sungguh tetapi hasilnya sama seperti pelajar yang berusaha biasa-biasa sahaja. Imam Syafie ada menyebut, Ilmu itu ibarat cahaya, ia mudah dicapai dengan hati yang taqwa dan khusyuk. Mana mungkin cahaya akan memasuki hati yang gelap? Maka itu Islam sebagai agama yang syumul telah menetapkan garis panduan untuk menguruskan perasaan cinta itu. Jika benar-benar sayang akan seseorang, pulangkannya melalui doa pada yang Esa, mohon Allah pelihara agar kedua-dua tidak terjerumus dalam jurang cinta nafsu, dalam masa yang sama didiklah diri untuk menjadi insan yang lebih baik. Mungkin selama tempoh bercinta kita leka dan mengabaikan amalan-amalan ruhiyah sehingga kita merasakan jiwa kosong dan mencari cinta manusia demi kebahagiaan sementara. Tetapi, berimanlah bahawa cinta Allah itu tiada tara bandingannya. Kita akan semakin dikasihi oleh keluarga, rakan-rakan dan sanak saudara kerana cinta dan rahmat Allah itu. Indah kan?

Pulang ke pangkal jalan
Andai pernah bercinta sebelum bernikah, usahlah bersedih kerana rahmat Allah itu melebihi kemurkaanNya. Pintu taubatNya sentiasa terbuka luas bagi sesiapa yang kembali kepadaNya. Bertaubatlah, insafi dosa-dosa cinta nafsu yang telah dilalui, berazamlah tidak akan mendekati dosa itu lagi. Mohonlah sepenuh keampunan daripadaNya. InsyaAllah, moga Allah kan terima taubat kita dan menganugerahkan hati yang baru, yang lebih bersih dan suci.
Satu usaha demi syiar Islam.
“La taqrabuzzina”

Pandanglah orang lain dengan padangan dakwah - Fatimah Syarha Mohd Noordin

No comments: