Saturday, December 29, 2012

Sum Up of Unforgettable 2012

Billahirrahmanirrahim

Saat saya menulis entri ini saya sedang ditaklifkan menyiapkan beberapa kertas kerja bagi program tahun hadapan. Ya, taklifan tidak pernah surut. Ia sentiasa menunggu. Meneliti kembali takwim PGPI 2013 membuat dada sedikit sesak. Ya Allah, mampukah saya dan rakan lajnah bagi menggalasnya? Alhamdulillah, dalam keterpaksaan menerima taklifan tersebut saya cuba untuk mencari rasionalnya. Mungkin ada ‘hadiah’ ingin Allah berikan kepada kami. Pengalaman itu guru terbaik. Bila lagi jika tidak sekarang? Saya ada lebih kurang 11 bulan sahaja lagi bagi mengutip berjuta pengalaman sebelum ke dunia kerjaya. Dalam minggu pertama praktikum program itu bakal berlangsung. InsyaAllah saya bersama rakan lajnah cuba menyusun sebaik mungkin agar objektif program tersebut tercapai. “Kebatilan yang tersusun akan dapat mengalahkan kebenaran yang tidak tersusun.” InsyaAllah, kata-kata ini tersimpan kemas dalam minda. So, the Truth must always in front side.

Melihat pertukaran demi pertukaran pimpinan PGPI menjadikan setiap perancangan disusun dengan lebih baik. Ada sahaja program diselitkan setiap minggu bagi mengelakkan ‘bais sekadar cantik di pandangan’ berlaku. Apa yang pasti semoga semakin ramai jiwa muda mudi yang tersentuh hatinya dengan kebaikan melalui kempen biah solehah yang dijalankan sepanjang tahun. Pesan saya buat semua pimpinan majlis tertinggi juga rakan lajnah, “Jika kamu menolong agama Allah, Allah pasti menolong kamu.” Yakinlah dengan janjiNya. Usah berputus asa dengan karenah birokrasi, karenah protokol yang hanya membantutkan usaha dakwah. Bergeraklah, yang pasti jaga hubungan baik dengan Allah, jangan pernah offline denganNya. Kerana keberjayaan usaha dakwah yang dilakukan adalah bertitik tolak dari hati serta keberkatan Ilahi. Para salafussoleh amat mementingkan kebersihan hati. Kerana segala sifat mahmudah juga mazmumah berpunca dari hati. Dalam berprogram letakkan Allah sebagai tujuan serta sentiasa bayangkan Rasulullah sentiasa bersama dan baginda akan tanya kita apa yang kita sumbangkan demi Islam. Mutabaah amal perlu sentiasa disemak dan dipertingkat. Hanya hati yang hidup dapat menghidupkan hati yang lain. Lihatlah semua mad’u dengan pandangan mata dakwah. Jangan dihina diri yang belum menerima hidayah. Terus berdoa agar mereka menjadi lebih baik dari kita InsyaAllah.

Dakwah takkan bergerak tanpa ilmu

Kefahaman adalah penting dalam kita melakukan kerja dakwah. Hal ini kerana dakwah tidak akan tercapai matlamat jika sekadar semangat semata-mata kerana semangat boleh hilang bila-bila masa. Yang paling penting adalah kefahaman, cuba tanya diri kita kenapa kita buat kerja dakwah? Kenapa dalam masa orang lain sibuk menelaah pelajaran sepanjang masa, menenangkan fikiran sambil berehat-rehat mendengar lagu-lagu yang mengasyikkan, menghiburkan diri dengan menonton drama-drama korea, bershopping dan outing sehari suntuk dan sebagainya, tetapi kita tetap juga menyibukkan diri hadir ke meeting, usrah, kuliah perdana dan membantu lajnah jamuan menyiapkan hidangan di dapur bais? Oleh kerana itu disarankan kepada rakan seperjuangan PGPI, untuk terus menimba ilmu melalui kuliah-kuliah, ceramah, seminar, daurah kitab dan sebagainya bagi membina thaqafah berkenaan fiqh jihad.

Al-Quwwah dan amanah

Antara 2 sifat pemimpin yang perlu ada dalam diri mereka adalah kuat dan amanah. “Dan salah seorang dari kedua (perempuan) itu berkata, “ Wahai ayahku! Jadikanlah dia sebagai pekerja (pada kita), sesungguhnya orang yang paling baik yang engkau ambil sebagai pekerja (pada kita) ialah orang yang kuat dan dapat dipercaya.” (Al-Qasas : 26).

Dalam kita melakukan kerja dakwah, 3 perkara yang perlu diberi perhatian iaitu jangan terlalu bercerita bab keduniaan, kedua hadirkan sentiasa rasa takut kepada Allah. Kepimpinan adalah satu taklifan, bukan tasyrif. Setiap taklifan pasti akan ditanya oleh Allah. “Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap kepimpinanmu.” Ketiga, sentiasa mengharapkan pertolongan Allah. Jangan hanya bijak beretorik, berdegar-degar tanpa sedikit pun mengharapkan bantuan Allah ibarat program yang hebat-hebat berjalan hanya kerana usaha bermati-matian bukannya nusrah Allah. Jagalah aqidah kita wahai teman-teman.

Scorecard vs komitmen

Scorecard peribadi 2013 juga sedang dalam perancangan saya. Menjadikan segala tiap sesuatu dilihat mempunyai fokus dan matlamatnya. Apa yang pasti usah jadikan ianya sekadar penghias dinding di bilik tanpa mengambil apa-apa tindakan dan follow up daripada setiap perancangan yang dilakukan. Ingat, Allah melihat usaha yang kita lakukan, bukan sekadar natijahnya. Lakukan yang terbaik sepanjang 2013. Bermula dengannya adalah perancangan. If you fail to plan, you plan to fail! Bermula detik ini, binalah scorecard kehidupan kita agar perjalanannya nampak sistematik dan tersusun.  Lupakan segala kegagalan yang lalu dan bangkit dari kekecewaan. Mungkin itu sekadar kejayaan yang tertunda. Tiada orang yang gagal. Yang ada hanyalah orang yang tidak mahu bangkit dari kegagalan. Sepanjang 2013 ini juga saya menyarankan kepada pimpinan majlis tertinggi PGPI agar menyatakan matlamat yang ingin dicapai agar ahli-ahli bawahan tahu seterusnya akan mewujudkan keselarasan dalam berprogram. Dalam setiap program perlulah meletakkan objektif, key performance index, dan tempoh masa bagi mencapai objektif yang telah ditetapkan. Seterusnya, lakukan post mortem sama ada objektif program tercapai ataupun tidak dan lakukan penambahbaikan pada masa akan datang.

Buat para muslimah – mengambil ibrah kisah Ummu Sulaim

Saya menyarankan para muslimah sekalian bagi menyoroti kisah pengorbanan Ummu Sulaim, seorang mujahidah solehah yang mana mempunyai tadhiyyah yang tinggi bersama-sama baginda nabi dalam meneruskan perjuangan. Beliau yang sarat mengandung tetap mujahadah bagi menghantar bekalan makanan. Juga kisah Saidatina Khadijah yang tidak berbelah bahagi dalam mendorong dan mendokong perjuangan baginda Rasulullah SAW. Kekayaan yang dimiliki diinfaqkan pada jalan Allah. Antara kisah para sahabat lain yang boleh memberi motivasi kepada kita, Bilal bin RabahSaidina Anzalah dan banyak lagi kisah para sahabat yang boleh kita jadikan contoh.

Muhasabah mencetus mujahadah

Jika dikenang dalam slot muhasabah, jatuh bangun dalam kerja dakwah, bisa saja lari dari medan dakwah dan tarbiah ini dan menumpukan 200% pada study. Tetapi, ingatlah janji Allah :

 “Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereta dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh, (sebagai) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjiNya selain Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang agung. Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, beribadat, memuji (Allah), mengembara (demi ilmu dan agama),  rukuk, sujud, menyuruh berbuat makruf dan mencegah dari yang mungkar dan yang memelihara hukum-hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang yang beriman.” (At-Taubah : 111-112)

“Wahai orang-orang yang beriman, mahukah kamu Aku tunjukkan suatu perdagangan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? Iaitu kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui.” (As-Saff : 10-11)

Allah dan bagi offer, kenapa kita tak nak ambil? Cumanya perlukan mujahadahlah sebab lihat semula keperitan, penderitaan dan pengorbanan Rasulullah SAW dalam menyebarkan risalah dakwah ini sehingga kita layak merasai kemanisan berada dalam nikmat Iman dan Islam pada hari ini. Jika jalan dakwah ini mudah, pasti ramai yang mengikutinya. Segalanya selesa. Tetapi teman, ia tidak semudah itu. Direject paperwork dan perlu diperbaiki itu adalah lumrah. Call orang/VIP yang memanjang busy itu adalah perkara biasa. Apabila meeting dijalankan, ada rakan-rakan yang tidak dapat memberikan sepenuh komitmen itu perkara biasa. Kerana kita perlu memahami, setiap orang mempunyai berjuta komitmen lain yang menunggu untuk ditunaikan. Ada yang dalam masa yang sama sebagai anak merangkap ibu di rumah, ada yang perlu balik pada tiap hujung minggu. Semuanya ini memerlukan nilai empati dalam diri kita dan bijaksanaan dalam menyusun perancangan kerja. Sikap toleransi dan bantu-membantu itu perlu ada. Tetapi, jangan pula kita yang merosakkan kesucian agama ini. Berdakwah perlu ikhlas. Ingat, ALLAH dan nabi akan tanya apa yang telah kita sumbangkan untuk Islam.

Sesungguhnya tiap tinta dalam entri ini lebih dekat dengan jemari penulisnya dan bila-bila masa saja akan diuji. Doakanku sahabat semoga aku kuat menghadapinya.

Kerana akhirnya nanti kita ingin kembali dalam husnul khatimah~

Alfaqirah ilallah
Anamuslehlife2012
29122012