Thursday, March 31, 2011

What I've learned...(PART 2) : Sisi Hidup Seorang Bakal Guru

Seorang guru memerlukan persiapan emosi, spiritual, fizikal dan juga intelek untuk memulakan sesuatu pengajaran. Secara praktikalnya, menjadi seorang guru tidak dapat lari dari kepenatan, kepayahan dan pengorbanan, namun membuahkan rasa kemanisan yang tak terungkap. Rasa kepuasan, rasa berbaloi...itulah yang mungkin jarang dirasai oleh profesion lain.

Cuba bayangkan, gurulah mengajar, gurulah pelakon, gurulah penyanyi, guru adalah pengarah program, gurulah atlet dan guru jugalah akauntan! Secara umumnya, tidak keterlaluan saya katakan, segala penat lelah seorang guru perlulah bersandarkan keimanan kepada Allah S.W.T serta tawakal kepadaNya. Tanpa tawakal padaNya, segala yang dirancang bisa sahaja tidak terlaksana jika tidak diizinkanNya meskipun perancangan yang rapi telah dilakukan.

Guru itu juga secara tulusnya amat dekat dengan Sang Pencipta. "Hanya hati yang ikhlas berjaya menyentuh hati lain." Ayat ini penuh azimat diungkapkan oleh seorang sahabat. Benar, seorang guru perlu ada roh untuk mendidik. Bukan hanya talk and chalk. Seorang guru bukan hanya mengajar teori, tetapi juga mendidik "jiwa" insan kecil. Katakan apa sahaja kemahiran dan ilmu yang tidak pernah didengari oleh anak murid, jika kena cara dan gayanya, ilmu itu akan diingati sampai bila-bila. Sehingga kini saya masih ingat apa yang diajar oleh guru bahasa Melayu sewaktu sekolah rendah. Meskipun ilmu tersebut bukanlah sebahagian daripada silibus, tetapi saya amat mengingatinya sehingga kini. "Kalau kamu sakit mata akibat masuk habuk, jangan gosok atau 'tenyeh', ia akan menjadi semakin teruk. Tapi, hanya usap 2 kali menggunakan 2 jari dari arah atas ke bawah dalam keadaan mata tertutup." Alhamdulillah, banyak kali juga saya praktikkan dan ianya berkesan.

Hasil perkongsian pengalaman bersama seorang senior, baginya mengajar memang suatu tanggungjawab yang berat, bersama penyediaan RPH (Rancangan pengajaran harian), dan ABM (Alat bantu mengajar). Tidur selepas jam 12.00 malam sudah menjadi perkara biasa bagi guru pelatih yang berpraktikum. Sehinggakan sewaktu tidur dan mandi boleh terlintas 'apa yang akan diajar pada keesokannya harinya'. Begitulah komitednya seorang guru atas amanah yang telah diberikan. Tidak cukup sekadar itu, kebiasaannya guru tidak dapat lari dari menerima tanggungjawab seperti mengendalikan program sekolah. Mendahulukan wang sendiri tidak menjadi alasan bagi mereka, asalkan sahaja program berjalan dan murid-murid mendapat manfaatnya.

Guru yang masuk ke kelas tanpa persediaan mengajar akan mudah hilang fokus dan berkemungkinan murid berasa bosan. Mengajar kanak-kanak prasekolah lebih-lebih lagi. Naluri mereka memang gemar bermain, guru juga harus kreatif dalam mempelbagaikan teknik pengajaran supaya mereka tidak beranggapan bahawa belajar ini hanya menghadap buku , tetapi mencakupi seluruh aspek pemerolehan ilmu.

Kemahiran, ilmu dan sikap (SKA) merupakan pakej lengkap bagi seorang guru (Pn. Shamsinah Hashim, Pensyarah Jabatan Ilmu Pendidikan). Kawalan kelas juga penting bagi menentukan keberkesanan proses P&P tersebut. Secara jujurnya, saya semakin mengenali dunia pendidikan bahawa mengawal sikap manusia itu memerlukan kemahiran yang cekap kerana manusia mempunyai 1001 ragam. Tidak sekadar itu, ketenangan dan kesabaran dalam pengendalian kelas itu perlu. Saya berpendapat bahawa profesion perguruan adalah antara profesion yang memerlukan pekerjanya banyak beristighfar kerana perlu berhadapan dengan sikap manusia, bukan sebuah mesin!

Ternyata, mendengarkan kisah bakal guru ini membuatkan saya insaf. Saya perlu bermula dari sekarang untuk melengkapkan diri dengan SKA. Saya semakin teruja untuk berjumpa dengan anak murid!

Set induksi merupakan langkah penting bagi menyuntik sifat ingin tahu murid-murid dalam proses P&P


Wassalam,
Auni Diyanah (AD), PISMP SN SEM 3.

Sunday, March 27, 2011

What I've learned

Pagi itu, berselimutkan kedinginan aku bangkit. Harapan demi harapan, semoga hari ini lebih baik dari semalam. Semekar semangat yang telah disemai bertahun lamanya, menunggu tunas yang subur dan meranum, memang lama. Sabarlah duhai hati. Namun, jadikanlah setiap pengalaman dan liku-liku hidup yang telah dijalani sebagai panduan untuk menghadapi pertumbuhan yang seterusnya. Untuk gagal itu mudah, tetapi untuk berjaya itu lebih mudah! Jangan biar masa terbuang, suatu yang merugikan (Prof. Dr. Muhaya). Kejayaan demi kejayaan aku amati, mungkin sahaja itu hanya kenangan atau tidak mustahil kan berulang. Semuanya, terletak pada hati.


Inspire me a lot

Mereka, amat aku rindui. Inilah sunnah berjuang menuntut ilmu. Diuji dengan perasaan rindu terhadap keluarga, sanak saudara. Tambahan pula aku semakin meningkat dewasa. Semakin rancak perbualan dengan saudara perempuan, lebih-lebih lagi. Entah apa sahaja yang diborakkan, sehingga kadang-kala mencecah 2-3 pagi, membuatkan si ayah menjenguk, apa sahaja yang menyebabkan anak-anaknya tidak tidur lagi walaupun masing-masing akan menziarahi sanak saudara pada keesokan paginya bagi meneruskan tradisi ziarah-menziarahi dan bermaaf-maafan. Itulah kehidupanku, aku dimatangkan oleh mereka kebanyakannya. Pengkongsian hidup mereka membuka mata tentang kehidupan. Kesusahan yang dialami ayahbonda membesarkan kami, inilah hasilnya. Semuanya dalam darah didikan 'seorang guru' yang garang di mata masyarakat. Tetapi amat dirindui tatkala hari persaraannya. Di sisi guru tersebut, sebatang tubuh yang tidak pernah kenal penat lelah membantunya mencari punca rezeki sekecil-kecil bercucuk tanam sehinggalah berjual beli. Benar kata Rasulullah, 9 daripada 10 punca rezeki datangnya dari perniagaan.

Kejayaan demi kejayaan dikecap mereka, suka aku melihatnya. Memberi semangat kepadaku untuk terus bangkit. Aku tiada alasan untuk gagal! Melihat bakal anak-anak muridku, menjadikan aku teruja dan tidak sabar-sabar untuk mencurahkan segala ilmu buat mereka. Seorang guru, perlu ada kekuatan rohani, ilmu yang mantap dan kemahiran yang cekap bagi keberkesanan suatu perjalanan proses memberi dan menerima ilmu. Itulah yang dapat kukutip hasil pembelajaran formal dan tak formal.

Merenung tiap mata anak-anak kecil, seribu harapan yang mereka ingin capai. Mungkin aku antara sejuta guru yang boleh membantu mereka, mengenali erti penghidupan ini. Yang akan kita semai dengan benih-benih kebaikan, dituai juga dengan benih-benih kebaikan di pengakhiran hidup, di alam yang kekal abadi. InsyaAllah. Mohon doa semua agar perjalanan hidupku ini dipermudahkanNya. Semoga sentiasa dalam keberkatan Ilahi.

No Turning Point

Suaranya tidak lama kedengaran, juga bait-bait semangat dan lontaran nasihat lantaran kadang-kala ada langkah yang tersilap dek lemahnya diri, akhirnya terubat pabila menerima satu panggilan di telefon bimbitku. Terima kasih kakak yang kusayangi kerana Allah.

Sungguh kuakui, mengenali insan sepertimu membuat aku insaf. Entah pernah atau tidak. Rasanya tidak sekali aku mendengar dengusan atau keluhan dari mulutmu. Aduhai muslimah, tabahnya hatimu dalam menghadapi mehnah di dunia ini.

Bercerita mengenai pengalamanmu ditempatkan pertama kali di SK Pos Bersih, baru ku tahu itu merupakan sekolah anak-anak orang asli. Sesiapa pun kita, guru baru atau guru yang berpengalaman, amat wajar untuk memulakan perkenalan. Benar katamu, memulakan perkenalan itu merupakan salah satu tuntutan Islam. Dikatakan juga, meluaskan kenalan dapat memanjangkan usia.

Dari satu segi pula, cabaran keberadaan di sekolah kawasan orang asli begitu menggamit jiwa. Meskipun anak-anak itu kurang pendedahan terhadap perkembangan terkini, tetapi keterujaannya untuk menimba ilmu membuat kita bersemangat untuk mencurahkan ilmu kepada mereka. Anak-anak amat menghargai! Ya, itulah semangat yang saya jarang lihat sepanjang PBS. Tetapi baginya, itulah pengalaman yang cukup indah!

Anak-anak itu ibarat si buta yang ingin mencari tongkatnya. Kasih sayang itu penghubung yang amat kuat nalurinya. Tunjuklah kasih sayang seorang guru kepada mereka, mereka akan menunjukkan komitmen dan keterujaannya untuk mendengar tiap butir bicara gurunya. Tidak keterlaluan saya katakan, ramai yang sependapat dengan saya bahawa kadang kala anak-anak lebih mendengar kata guru dari ibu bapa! Jika ibu bapa menyuruh begini, anak-anak akan katakan, "Cikgu kata buat macam ni."

Meskipun bilangan pelajar Islam amat minoriti di sana, insyaAllah jika 3 orang itu dilentur dan disemai dengan baik, mungkin satu hari nanti mereka bakal pelapis Dr. Fadzillah Kamsah, Sheikh Muzaffar dan figure-figure hebat di luar sana. Peluang yang telah diberikan kepada akak merupakan yang terbaik, memandangkan semua pelajar wajib mengambil mata pelajaran sivik.

Sesungguhnya setiap yang Allah aturkan adalah yang terbaik buat hambaNya. Dari jauh, eton doakan semoga kak ain berlapang dada, dipermudahkan segala urusan dan ingatlah di tangan kita, beribu harapan anak-anak untuk berjaya. Semoga segalanya dalam keberkatan dan redha Allah. Salam rindu dari kejauhan.

Friday, March 25, 2011

Selamilah Ia

Tanah itu

Milik kita

Milik moyang kita


Agama itu

Mungkin milik moyang kita

Dan pastikan selamanya milik kita

Jagalah ia

Usah biarkan saja

Bersikap sambil lewa

Diguna pada peristiwa-peristiwa tertentu saja


Agama itu apa?

Kenduri kendara?

Akad nikah?

Tunai haji?

Solat Jumaat?

Puasa Ramadhan?

Bukan!

Bukan sekadar itu

Tapi ia dekat di hati

Sentiasa berjalan di urat nadi

Untuk taharah

Rangkum keseluruhan kitaran hidupmu

Tindak tanduk

Berbaliklah pada manualNya

Al-Quran, As-sunnah, Ijma' dan Qiyas


Agama

Ia lebih dari segala

Kita punyai Majikan

Yang kita bekerja denganNya

Ada Dia di hati kita

Konfirm! Tiada penyelewengan

Tiada rasuah

Tiada fitnah

Tiada pembohongan


Agama

Bisa buat kamu rasa selamat

Bisa buat kamu bahagia

Bisa buat kamu tenteram

Bisa buat kamu sabar

Bisa buat kamu diredhai dan meredhai

Bisa buat kamu mumtaz


Saya, kamu, kita

Terciptanya dari Adam

Beranak-pinak

Kejadian suatu mukadimah

Kematian merupakan khatimah

Syurga atau neraka

Redha atau musnah


Selamilah keizzahan Islam

Kalian kan ketemu apa yang kalian cari selama ini


Ya Allah, tetapkanlah hati-hati kami dalam agamaMu.

Wednesday, March 16, 2011

Surat buat Auni Diyanah


Anakandaku Auni Diyanah

Surat ini ibu tujukan khas buatmu

Bukan tujuan ibu untuk menekanmu

Tetapi, bacalah demi masa depanmu

seandainya ibu tiada lagi di dunia fana ini.


Seharusnya kau tahu,

Hidup ini ibarat pilihanraya,

Bukan sekali, bukan 2 kali,

Bukan tatkala kau memilih

Mahu bersekolah di asrama ataupun sekolah harian

Mahu belajar di dalam atau di luar negara

Mahu bekerja di sektor kerajaan atau swasta

Mahu mengahwini kerana hartawan atau rupawan

Tetapi, anakku, lebih dari itu.

Ia berkenaan pahala dosa,

Baik buruk,

Halal haram.


Anakku,

membuang undi untuk memilih satu dari keduanya

Perlukan iman di dada

Cuba kamu tempatkan dirimu

Di sebelah nafsu sebagai temanmu

Mana yang ingin kamu pilih

Kini, kamu tempatkan dirimu

Sebelah iman sebagai pendamping dirimu

Sudah pasti kamu memilih yang dapat menyelamatkanmu dari azabNya


Anakku,

AzabNya amatlah pedih

Seluruh kepanasan di bumi ini hanyalah sedikit percikan api neraka

Tahankah dirimu andai dicampakkan ke dalam api neraka?

Tahankah diri jika di dunia kamu mendedahkan auratmu?

Tahankah diri jika di dunia kamu menderhakai ibu dan ayah?

Tahankah diri jika di dunia kamu melanggari perintah Tuhan?


Anakku,

Ibu khuatir, di dunia ibu masih boleh mengingatkan dirimu

Tetapi di alam sana, kamu keseorangan,

Hanya amalanmu di dunia yang bisa menyelamatkanmu.


Anakku,

Dunia ini hanya persinggahan,

Tanamlah sebanyak-banyaknya

Moga kelak kamu bisa menuai sebanyak-banyaknya,

Tetapi anakku, ramai abid yang tenggelam di dalamnya,

Akibat ujub, riyak dan menyombong diri,

Maka itu, IKHLAS itu menjadi kunci atas setiap tindakanmu di dunia.

Pesan ibu, perbaikilah sentiasa syahadahmu, semuanya hanyalah keranaNya.


Anakku,

Dunia ibarat fatamorgana,

Dilihat indah, tetapi hakikatnya hanya sia-sia,

Berwaspadalah terhadap tipu dayanya,

Usah jadikan syaitan dan nafsu sebagai temanmu,

Ingatlah bahawa mereka musuhmu yang nyata!

Usah biar mereka berteriak tatkala kau merelakan adam menyentuhmu dengan cara haram!

Jagalah iman, jagalah hatimu Auni Diyanah,

Lembutmu bukan beerti kau lemah.

Tetapi penuh ketegasan.


Anakku,

Tuntutlah seberapa banyak ilmu

Berjalanlah di muka bumi ini

Kerana ilmu Tuhan takkan pernah habis

Dengan ilmu kau tak mudah ditipu

Tingkatkanlah iman dan amal dengan memenuhi ilmu di dada.

Ingatlah pesan ibumu ini anakku,

Mungkin esok, lusa ibu akan pergi.

Jagalah solatmu,

Jagalah solatmu,

Jagalah solat, auni.

Ia lambang keteguhan agama dalam dirimu.


Hak cipta terpelihara : www.anamusleh.blogspot.com

Tuesday, March 15, 2011

Selangkah Pertama Proses Lebih Baik

Remaja dilihat merupakan golongan majoriti yang sering menghadapi krisis identiti. Pada lingkungan umur inilah dikatakan mereka dalam langkah untuk memilih identiti yang ingin mereka bawa. Bermulanya episod ini, akan menentukan 30 hingga 40 tahun akan datang kehidupan mereka. Baik atau buruknya episod penghidupan mereka bermula pada usia remaja.
Remaja juga sinonim dengan golongan pelajar sekolah, pelajar IPT dan pekerja. Setiap golongan ini mempunyai cara tersendiri bagaimana untuk memulakan proses ke arah lebih baik. Saya lebih suka menerangkannya secara general agar pembaca boleh menilai sendiri berdasarkan tahap umur masing-masing.
Mengapa dikatakan manusia itu perlu bersikap lebih baik? Tuntutan daripada ALLAH SWT sendiri yang mana lebih memandang kepada sikap yang lebih baik, “Allah melihat siapa yang lebih bertaqwa dikalangan kamu.” Taqwa itu mencakupi memilih keadaan yang terbaik di kalangan yang terbaik. Sebagai contoh, setiap manusia beribadah, tetapi Allah memandang mereka yang lebih taqwa dalam ibadahnya.
Dari angle yang lain, proses ke arah lebih baik juga dapat diperhatikan dalam masyarakat Jepun yang mana konsep KAIZEN yang sering dilaungkan. KAI bermaksud change. ZEN pula bermaksud become good. Dalam apa-apa jua tindakan, mereka amat menitikberatkan ke arah perubahan yang lebih baik. Maka, tidak hairanlah mengapa mereka terkehadapan dalam bidang teknologi di mata dunia.
Persoalan utama dalam proses selangkah lebih baik ini, MATLAMAT menjadi fokus dalam memulakan segalanya. Apabila matlamat sudah jelas, prasyarat-prasyaratnya menjadi pemurni dalam setiap matlamat supaya mudah dilaksanakan. Sebagai contoh, matlamat pelajar masa kini, matlamat ingin mencapai 8A dalam PMR. Prasyaratnya dengan melakukan ulangkaji, mendampingi guru, membuat latih tubi serta menjawab soalan-soalan peperiksaan yang lalu. Maka itu, prasyarat itu menjadi tonggak atas kejelasan setiap matlamat. Matlamat tanpa prasyarat ibarat pensel tanpa coretan di atas kertas. Pensel hanya tinggal hiasan tanpa hasilnya.
Selangkah pertama proses lebih baik, usah ditunggu ilmu memenuhi dada, diri cukup complete dan sebagainya. Just get going. Hadith Qudsi daripada Rasulullah SAW : "Jika kamu datang kepadaku secara berjalan, nescaya aku datang kepadamu secara berlari. Jika kamu datang kepadaku selangkah, aku akan datang menghampirimu seribu langkah." Jadi, usah meragui akan setiap kebaikan yang ingin dilakukan. Lakukan saja! Walaubagaimanapun proses lebih baik yang ingin kita lakukan, walau setinggi manapun gred yang ingin kita capai, usah dilupakan bahawa ada kehidupan yang lebih kekal untuk kita diami. Semoga hari ini lebih baik dari semalam. Semoga ceria selalu. (^_^)
EDITED FROM SLOT REMAJA @ IKIM.FM.
15 Mac 2011, SELASA, 10.00 PM.

Faham Mengundang Husnu Dzon

Isu hari ini, TERIMA KASIH KERANA MEMAHAMI. FAHAM MENGUNDANG HUSNU DZON. Pernahkah anda dalam situasi seperti diasak-asak...menyalahkan insan lain tanpa sebarang tujuan? Sikap tersebut berpunca kurang memahami orang lain. Sekarang cuba anda saluti sedikit diri anda dengan sikap empati, merasakan penderitaan atau permasalahan yang sedang insan lain hadapi, anda akan berasa sedikit tenteram, kurang keinginan untuk menuruti nafsu amarah. Dan anda akan berasa tenang, tenang kerana semua permasalahan sebenarnya memerlukan protokol untuk diselesaikan. Bukan hanya memakan masa satu dua saat untuk diselesaikan, tenang, istighfar, dan seterusnya cari punca. Kemudian mulakan langkah untuk atasi. Jauhi sikap terburu-buru (perangai syaitan) dalam segala hal. Rasional dan ambil pertimbangan dari segenap segi seperti menarik rambut dalam tepung.

Mengapa dikaitkan pemahaman dengan bersangka baik?
Suka untuk saya memberikan contoh situasi. Seorang jiran menyatakan permasalahannya...beliau begitu bingung sehinggakan pada satu tahap tidak tahan dengan cakap-cakap orang kampung. Segalanya bermula dengan satu mulut sehinggakan khabar angin tersebut amat menyimpang dari kisah sebenar. Nah, cakap-cakap orang kampung yang kurang menyelidik itulah puncanya. Sikap tidak mengesahkan kesahihan berita menyebabkan jiran tadi terus-terusan dihujani dengan tohmahan yang entahkan benar atau tidak. Maka, cuba kalian renungi adakah faham atau tidak orang-orang kampung itu dengan situasi sebenar yang dialami oleh jiran mereka? Saya kira, jika mereka faham situasi jiran..mereka tidak layak untuk bercerita ke sana ke mari akan hal yang sedang dialaminya. Setelah diselidiki rupa-rupanya jiran itu sedang menjalani rawatan yang panjang di luar negara kerana itulah beliau tidak pulang ke kampung halaman, bukanlah lupa asal usul.

Khatimahnya, dianjurkan agar menyelidik dahulu dan memahami sesuatu perkara agar tidak timbul suuz dzon (berburuk sangka). Bukankah Allah menghadiahkan hikmah atas tiap yang ditimpakannya? Carilah hikmah tersebut untuk dipelajari. Ianya lebih indah dari manisan.

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi Maha mengasihani." (Surah al-Hujurat: 12)

Thursday, March 10, 2011

Intipati Forum Remaja : Seronoknya Berkahwin...bercinta atau belajar?

Tarikh : 9 Mac 2011

Tempat : Balai Islam IPG KRM

Masa : 8.00-9.15 malam


Perkara jodoh seperti juga perkara rezeki, orang beriman percaya bahawa usaha adalah asbab kepada sesuatu takdir yang telah ditentukan oleh Allah SWT.

Namun, mereka yang menyamakan usaha mereka itu dengan takdir adalah syirik.

Manakala, mereka yang menyatakan segala yang diperolehinya adalah atas usahanya semata adalah kafir.


Menjadi isu setiap manusia inginkan pasangan yang sempurna, tetapi harus dahulu melihat diri, reflek diri adakah kita berjaya menjadi seperti yang kita harapkan kepada pasangan?


Usah menekankan hujah "CINTA ITU SUATU FITRAH" walaupun keadaan belum bersedia untuk berumahtangga. Sebaliknya, jika seluruh penghidupan disandarkan pada syariat, tidak terjadi masalah percintaan yang melanggar batas-batas syariat seperti yang banyak berlaku dalam masyarakat kita sekarang.

1) Pemilihan jodoh, bersandarkan hadith Nabi SAW, lihatlah kepada agamanya.

2) Ikuti nasihat orang-orang yang baik dalam membuat keputusan samada perlu berkahwin atau tidak pada waktu tersebut ; ibu ayah, pensyarah dan lain-lain.

-USTAZ NOR AZMAN, MODERATOR IMTIYAZ.


Perkahwinan is just a beginning, bukan suatu pengakhiran kepada perhubungan percintaan. Ia adalah suatu tanggungjawab.

Untuk menjadi insan yang baik, bermula dari penghidupan seorang remaja itu. Al-quran dan As-sunnah menjadi sandaran baginya.

Belajar dan berkahwin, berkahwin dan belajar adalah dua perkara berbeza.

-DR. HASNAH ABDULLAH, KU PENYELIDIKAN & INOVASI IPG KRM.


::Mohon teguran atas sebarang kesilapan::

Tahniah adik-adik PAI PPISMP SEM 2 kerana menjayakan forum ini. (^_^)

Semoga semuanya dalam keberkatan Allah SWT.