Sunday, March 27, 2011

What I've learned

Pagi itu, berselimutkan kedinginan aku bangkit. Harapan demi harapan, semoga hari ini lebih baik dari semalam. Semekar semangat yang telah disemai bertahun lamanya, menunggu tunas yang subur dan meranum, memang lama. Sabarlah duhai hati. Namun, jadikanlah setiap pengalaman dan liku-liku hidup yang telah dijalani sebagai panduan untuk menghadapi pertumbuhan yang seterusnya. Untuk gagal itu mudah, tetapi untuk berjaya itu lebih mudah! Jangan biar masa terbuang, suatu yang merugikan (Prof. Dr. Muhaya). Kejayaan demi kejayaan aku amati, mungkin sahaja itu hanya kenangan atau tidak mustahil kan berulang. Semuanya, terletak pada hati.


Inspire me a lot

Mereka, amat aku rindui. Inilah sunnah berjuang menuntut ilmu. Diuji dengan perasaan rindu terhadap keluarga, sanak saudara. Tambahan pula aku semakin meningkat dewasa. Semakin rancak perbualan dengan saudara perempuan, lebih-lebih lagi. Entah apa sahaja yang diborakkan, sehingga kadang-kala mencecah 2-3 pagi, membuatkan si ayah menjenguk, apa sahaja yang menyebabkan anak-anaknya tidak tidur lagi walaupun masing-masing akan menziarahi sanak saudara pada keesokan paginya bagi meneruskan tradisi ziarah-menziarahi dan bermaaf-maafan. Itulah kehidupanku, aku dimatangkan oleh mereka kebanyakannya. Pengkongsian hidup mereka membuka mata tentang kehidupan. Kesusahan yang dialami ayahbonda membesarkan kami, inilah hasilnya. Semuanya dalam darah didikan 'seorang guru' yang garang di mata masyarakat. Tetapi amat dirindui tatkala hari persaraannya. Di sisi guru tersebut, sebatang tubuh yang tidak pernah kenal penat lelah membantunya mencari punca rezeki sekecil-kecil bercucuk tanam sehinggalah berjual beli. Benar kata Rasulullah, 9 daripada 10 punca rezeki datangnya dari perniagaan.

Kejayaan demi kejayaan dikecap mereka, suka aku melihatnya. Memberi semangat kepadaku untuk terus bangkit. Aku tiada alasan untuk gagal! Melihat bakal anak-anak muridku, menjadikan aku teruja dan tidak sabar-sabar untuk mencurahkan segala ilmu buat mereka. Seorang guru, perlu ada kekuatan rohani, ilmu yang mantap dan kemahiran yang cekap bagi keberkesanan suatu perjalanan proses memberi dan menerima ilmu. Itulah yang dapat kukutip hasil pembelajaran formal dan tak formal.

Merenung tiap mata anak-anak kecil, seribu harapan yang mereka ingin capai. Mungkin aku antara sejuta guru yang boleh membantu mereka, mengenali erti penghidupan ini. Yang akan kita semai dengan benih-benih kebaikan, dituai juga dengan benih-benih kebaikan di pengakhiran hidup, di alam yang kekal abadi. InsyaAllah. Mohon doa semua agar perjalanan hidupku ini dipermudahkanNya. Semoga sentiasa dalam keberkatan Ilahi.

No comments: