Thursday, March 31, 2011

What I've learned...(PART 2) : Sisi Hidup Seorang Bakal Guru

Seorang guru memerlukan persiapan emosi, spiritual, fizikal dan juga intelek untuk memulakan sesuatu pengajaran. Secara praktikalnya, menjadi seorang guru tidak dapat lari dari kepenatan, kepayahan dan pengorbanan, namun membuahkan rasa kemanisan yang tak terungkap. Rasa kepuasan, rasa berbaloi...itulah yang mungkin jarang dirasai oleh profesion lain.

Cuba bayangkan, gurulah mengajar, gurulah pelakon, gurulah penyanyi, guru adalah pengarah program, gurulah atlet dan guru jugalah akauntan! Secara umumnya, tidak keterlaluan saya katakan, segala penat lelah seorang guru perlulah bersandarkan keimanan kepada Allah S.W.T serta tawakal kepadaNya. Tanpa tawakal padaNya, segala yang dirancang bisa sahaja tidak terlaksana jika tidak diizinkanNya meskipun perancangan yang rapi telah dilakukan.

Guru itu juga secara tulusnya amat dekat dengan Sang Pencipta. "Hanya hati yang ikhlas berjaya menyentuh hati lain." Ayat ini penuh azimat diungkapkan oleh seorang sahabat. Benar, seorang guru perlu ada roh untuk mendidik. Bukan hanya talk and chalk. Seorang guru bukan hanya mengajar teori, tetapi juga mendidik "jiwa" insan kecil. Katakan apa sahaja kemahiran dan ilmu yang tidak pernah didengari oleh anak murid, jika kena cara dan gayanya, ilmu itu akan diingati sampai bila-bila. Sehingga kini saya masih ingat apa yang diajar oleh guru bahasa Melayu sewaktu sekolah rendah. Meskipun ilmu tersebut bukanlah sebahagian daripada silibus, tetapi saya amat mengingatinya sehingga kini. "Kalau kamu sakit mata akibat masuk habuk, jangan gosok atau 'tenyeh', ia akan menjadi semakin teruk. Tapi, hanya usap 2 kali menggunakan 2 jari dari arah atas ke bawah dalam keadaan mata tertutup." Alhamdulillah, banyak kali juga saya praktikkan dan ianya berkesan.

Hasil perkongsian pengalaman bersama seorang senior, baginya mengajar memang suatu tanggungjawab yang berat, bersama penyediaan RPH (Rancangan pengajaran harian), dan ABM (Alat bantu mengajar). Tidur selepas jam 12.00 malam sudah menjadi perkara biasa bagi guru pelatih yang berpraktikum. Sehinggakan sewaktu tidur dan mandi boleh terlintas 'apa yang akan diajar pada keesokannya harinya'. Begitulah komitednya seorang guru atas amanah yang telah diberikan. Tidak cukup sekadar itu, kebiasaannya guru tidak dapat lari dari menerima tanggungjawab seperti mengendalikan program sekolah. Mendahulukan wang sendiri tidak menjadi alasan bagi mereka, asalkan sahaja program berjalan dan murid-murid mendapat manfaatnya.

Guru yang masuk ke kelas tanpa persediaan mengajar akan mudah hilang fokus dan berkemungkinan murid berasa bosan. Mengajar kanak-kanak prasekolah lebih-lebih lagi. Naluri mereka memang gemar bermain, guru juga harus kreatif dalam mempelbagaikan teknik pengajaran supaya mereka tidak beranggapan bahawa belajar ini hanya menghadap buku , tetapi mencakupi seluruh aspek pemerolehan ilmu.

Kemahiran, ilmu dan sikap (SKA) merupakan pakej lengkap bagi seorang guru (Pn. Shamsinah Hashim, Pensyarah Jabatan Ilmu Pendidikan). Kawalan kelas juga penting bagi menentukan keberkesanan proses P&P tersebut. Secara jujurnya, saya semakin mengenali dunia pendidikan bahawa mengawal sikap manusia itu memerlukan kemahiran yang cekap kerana manusia mempunyai 1001 ragam. Tidak sekadar itu, ketenangan dan kesabaran dalam pengendalian kelas itu perlu. Saya berpendapat bahawa profesion perguruan adalah antara profesion yang memerlukan pekerjanya banyak beristighfar kerana perlu berhadapan dengan sikap manusia, bukan sebuah mesin!

Ternyata, mendengarkan kisah bakal guru ini membuatkan saya insaf. Saya perlu bermula dari sekarang untuk melengkapkan diri dengan SKA. Saya semakin teruja untuk berjumpa dengan anak murid!

Set induksi merupakan langkah penting bagi menyuntik sifat ingin tahu murid-murid dalam proses P&P


Wassalam,
Auni Diyanah (AD), PISMP SN SEM 3.

No comments: