Tuesday, March 20, 2012

Tiada bertajuk

Luahan hati dan pandang sisi saya terhadap PERKAHWINAN.

Saya akui pabila membuka topik ini, ceriteranya tiada berpenghujung, pasti berepisod. Melihatkan beberapa teman akrab yang sering berkongsi kisah duka dan gembira membuatkan saya terpanggil untuk menyatakan suara hati.

Perkahwinan + jodoh + teman hidup

Benar, segala pandangan saya terhadap perkahwinan adalah hasil daripada pembacaan, kajian personal serta pemerhatian terhadap contoh-contoh yang dibentangkan di depan kaca mata saya. Tidak saya konklusikan sehingga benar-benar terjadi di depan mata. Perkongsian daripada Ustaz Syafiq, Ustaz Hasrizal, Ustazah Fatimah Syarha antara yang pernah saya ambil dan hadam serta rangkumkan menjadi kesimpulan yang mudah bahawa perkahwinan bukanlah seperti permainan pondok-pondok.
Sebenar-benarnya perkahwinan bukanlah sekadar melahirkan rasa cinta, sayang dan rindu. Ia adalah :

- Sebuah amanah dan tanggungjawab
- Terdapat padanya nilai ibadah
- Penyambung generasi gemilang
- Medan menempuhi zaman yang penuh kedewasaan
- Salah satu jalan menuju redha dan syurgaNya

Andai benar permulaannya, lurus niatnya, insyaAllah ia menjadi suatu ibadah yang sungguh terpuji, malah beroleh pahala kerana mencontohi sunnah baginda nabi.

Setiap perkahwinan pasti diuji

Sepertimana jalan menuju ke syurga yang penuh mehnah, begitu juga jalan menuju matlamat perkahwinan. Matlamat perkahwinan seperti yang tersenarai di atas, ianya pasti diuji. Terpulang pada kebijaksanaan dan kebergantungan kita pada yang Esa demi melayari bahtera yang telah terbina. Bisa saja bertekak lantaran tidak sama jenama ubat gigi yang digunakan. Itu semua berbalik pada matlamat individu dalam sesebuah perkahwinan. Sebab itu Islam menganjurkan perkahwinan yang sekufu, yang sekepala, sematlamat.

Sepertimana yang saya nyatakan di atas, perkahwinan adalah salah satu jalan menuju redha dan syurgaNya kerana mati itu pasti sedangkan jodoh, rezeki itu tidak pasti. Maka itu, teruslah fokus kepada matlamat akhir penghidupan, tetapi usahlah ditentang andai jodoh itu tiba kerana mungkin ada hikmah yang belum tersingkap ingin Allah sediakan untukmu.

Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Intipati yang pernah saya peroleh daripada bual bicara di ikim.fm, antara kunci kebahagiaan dalam sesebuah rumahtangga adalah kesabaran, komunikasi dan kesedaran tanggungjawab. Hakikatnya, teori tak semudah praktikal ^_^

Mata lebih tepat berbicara daripada lidah, inilah yang terlahir dari mata hati saya.

p/s:kepada rakan taulan dan saudara saudari yang sedang dalam proses, dan yang telah mendirikan rumahtangga. Gantunglah segenap pengharapan dan keyakinan pada Allah, insyaAllah Allah akan meluaskan jalan untukmu menuju syurgaNya.


Thursday, March 8, 2012

[Repost] : "Ya, saya sudah bertunang"

Bismillahirrahmanirrahim.

"Tugas dakwah itu bukan tugas ustaz ustazah sahaja."

Pernah saya mendengar bual bicara di Ikim mengatakan bahawa hidup di akhir zaman ini memerlukan jiwa yang kental dan jatidiri yang padu. Jadilah apa sahaja, bekerjayalah apa sahaja. Asalkan iman sentiasa diperelok, direfresh insyaAllah tiada korupsi, tiada shubhah. Segalanya berkat dan tenang berlandas syariatNya. Berbicara mengenai syariat, “Saya tak tahu la benda-benda syariat ni, hukum hakam ni. Berat”…Bukankah kita dahulunya tak tahu ABC, 123, apa itu algebra..trigonometri…fotosintesis..Usah hanya memandang ilmu-ilmu dunia, fardhu ain lebih-lebih lagi anda patut ambil tahu.

Anak-anak seawal 5 tahun kini sudah memiliki laman sosial facebook, tahu apa game zombie, dota, farmville, download sendiri video-video dari youtube, berchatting dan bermacam lagi hiburan yang boleh dicari. Tidak seperti kanak-kanak zaman 80an, 90an dahulu…balik sekolah, letak beg, tukar baju main jadi canggung, ketinting, sorok-sorok dan pelbagai jenis outdoor games di sekitar kampung. Sebab itulah, kanak-kanak sekarang semakin maju mindanya, semakin kurang ilmunya lantaran segalanya yang bersifat cepat dan segera. Ayam membesar secara segera, 40 hari dah boleh dimakan, tak perlu tunggu sehingga setahun. Pasif sahaja tunggu disembelih. Sebab itulah orang-orang sekarang umur lingkungan 30-40 tahun dah terkena penyakit-penyakit moden lantaran mengabaikan kesihatan jasadiah.


Hakikat, inilah dunia. Jangan pertikai kenapa, kerana inilah aturanNya. Sentuh masalah sosial. Ya Allah, duduk bersantai di rumah pun rasa tak senang, silap-silap haribulan Pak Cik P sesuka hati bertandang di rumah, bukan nak membawa berita gembira, tapi Pak Cik perompak, penyamun, penagih dan seumpamanya meminta belas kasihan untuk mengambil barang yang bukan kepunyaan. Tidak terlintaskah Pak Cik P jika perbuatan buruknya bakal menimpa keluarga mereka sendiri. Ataupun Malaysia ni dah tak ada kerja kosong?

Bulan November dan Disember ni, saya ternanti-nanti statistik terbaru bilangan anak luar nikah. Bukan suka-suka saya mengira, tapi hasil penzinaan 'insan-insan terbabit' pada Februari yang lalu. Di akhbar Berita Harian hari ini (2 November 2010) saja, “Seorang lelaki tak tergamak nak buang bayi rakannya lalu dihantar ke sebuah hospital.” Adoyai, dah macam ternak ikan belanak je…suka-suka nak buang. Siap kirim kat kawan. Ya, inilah dunia. Tanda-tanda kiamat. Jika 20 tahun dahulu, kes ini agak terpencil, sekarang dah macam 50 % bahan utama paparan berita selain berita artis kawin cerai dan mangsa bunuh. Pendapat peribadi saya, mungkin kerana ditolak segala hukum hakam dari Al-Quran, itu yang dunia 'mengamuk'.


Meneliti isu-isu ini, saya mula terfikir mungkin saya berada dalam zon selesa, tidak terdedah dengan dunia bahaya. Tapi, selesakah saya jika memikirkan nasib bakal anak-anak murid saya nanti. Mereka zero, amat lembut dan rapuh jiwa mereka jika seawal usia 3-12 tahun hanya disogokkan dengan games, ilmu-ilmu linguistik, saintifik dan logikal tanpa mengambil kira pengisian rohaninya. Anak-anak lebih terror berbahasa Inggeris dan jahil mengenai tulisan jawi dan muqaddam. Subhanallah, kasihan saya melihat mereka. Umur sebegitu seharusnya diwajibkan untuk diisi dengan ilmu mengenal Pencipta alam, Allah SWT, mengenal hakikat dosa pahala, perkara baik buruk. Jika waktu itu perkara-perkara asas mengenai Islam settle, insyaAllah jatidiri mereka akan bertambah kuat meningkat remaja kelak. Kefahaman dan pengamalan menjadi objektif mereka dalam menuntut ilmu, bukan hanya bermatlamat A dalam peperiksaan. Tetapi, akan dipraktikkan sepanjang hayat kehidupan seorang hamba dengan cemerlang malah mungkin A+. Jika jelas hakikat dan tujuan penghidupan kita, maka dunia bukanlah tujuan utama kita, tetapi Allah itu sentiasa menjadi tujuan kita.

Meskipun perit dan payah untuk melakukan, demi mencapai redha Allah…saya genggam amanah ini kerana telah berjanji denganNya suatu ketika dahulu di alam rahim…untuk menjadi khalifah di dunia tatkala gunung ganang tidak menyanggupi amanah yang berat ini. Lantas, Allah mengatakan bahawa sesungguhnya Dia lebih mengetahui.

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan menyuruh kepada yang maaruf dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung"
(A1-Imran 104)

Akhir kalam, atas segala persoalan, ya benar saya sudah bertunang dengan SEBUAH KEMATIAN. Saya mahukan seluruh penghidupan dan jalan hidup saya dengan jalan yang diredhaiNya agar saya bisa 'bernikah' dengan aman di alam sana. Maaf atas segala kekurangan dan kesilapan saya. Bantulah saya untuk menjadi lebih baik dan istiqamah melakukan ketaatan serta meninggalkan laranganNya kerana saya yakini Islam takkan tertegak tanpa tertegaknya Islam dalam diri seorang muslim. Wallahualam.

Sunday, March 4, 2012

Berbicara Mengenai Hati (1)

Bismillahirrahmanirrahim

Kalam ini saya mulakan dengan memaparkan sedikit penceritaan mengenai CINTA yang skopnya terlalu luas untuk dibincangkan. Bila sebut sahaja perkataan Cinta, masing-masing terbayang akan konsep cinta sesama makhluk. Walhal ia meliputi seluruh kehidupan kita. Dengan cintaNya kita hidup, dengan cintaNya juga kita lahir ke dunia ini.

Tetapi, di sini ingin saya fokus mengenai fiqh cinta yang ditulis oleh saudara penulis blog Motivasi Cinta Bersyariat, myilham.com. Bagaimana pemahaman yang sebenar mengenai cinta dan pelbagai persoalan lagi.

++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Saya terfikir untuk menulis tentang Fiqh Cinta bukan kerana ia suatu ilmu yang baru. Bahkan ia suatu yang sangat biasa dan seringkali dibincangkan di mana-mana tempat.

Cuma saya melihat, ia masih kurang dibincangkan dalam konteks dan konsep yang betul. Lalu Fiqh Cinta secara bersiri ini saya hadirkan khas buat mereka yang masih tercari-cari makna cinta. Mudah-mudahan mereka menemui apa yang mereka cari bukan di dalam semak samun, sebaliknya di atas jalanan yang lurus, insyaAllah.

Suatu perkara yang perlu kita tahu adalah, manusia yang membicarakan tentang cinta ada dua versi.

Versi pertama adalah mereka yang membincangkan cinta dengan mengaitkan agama. Versi kedua pula sebaliknya. Artikel ini mahu mengembalikan perbincangan cinta itu kepada versi pertama, kerana itulah tempat sebenar kalimah cinta.

KENAPA FIQH?

Jarang kita dengar Fiqh Cinta. Tetapi mungkin kita selalu dengar Fiqh solat, zakat , puasa dan haji.

Sebenarnya kalimah ‘Fiqh’ itu dari segi bahasanya bermaksud faham. Dalam Surah Taaha ayat 27-28, Allah berfirman yang berbunyi :

” Dan ( berkata Musa ) lepaskanlah simpulan dari lidahku, Supaya mereka faham perkataanku “


Kalimah Fiqh dikembarkan dengan banyak kalimah lain. Jika Fiqh membicarakan tentang kefahaman dalam hal ehwal ibadat khusus, maka namanya Fiqh Ibadat. Jika membicarakan tentang kefahaman keutamaan, maka namanya Fiqh Aulawiyat. Jika membincangkan kefahaman tentang hal ehwal sumpah, maka namanya Fiqh Aiman. Jika membincangkan tentang hal ehwal jihad, maka namanya Fiqh Jihad. Begitu jugalah jika membincangkan tentang hal ehwal cinta.

Dan sudah tentulah untuk menjadi ‘faham’ , kita perlu kepada panduan yang memberikan kefahaman. Panduan itu tidak lain dan tidak bukan adalah Al-Quran dan Al-Hadith.

Jadi ringkasnya begini. Fiqh Cinta yang ingin kita bicarakan adalah ; kefahaman tentang cinta berdasarkan kepada panduan dari Al-Quran dan juga Sunnah.

MENDEFINISIKAN CINTA

Kalau kita buat kajian, kita akan mendapati takrifan yang pelbagai tentang makna kalimah cinta.

Ada yang mendefinisikan sebagai kasih sayang, kerinduan, kemesraan dan sebagainya.

Di dalam Al-Quran dan hadith, kalimah cinta atau Al-Hub disebut dalam banyak tempat. Antaranya dalam surah Ali Imran ayat 31 :


Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mencintai Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mencintai kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Jika kita menyoroti Tafsir Ibn Munzir ( 319 H ) yang mengulas tentang ayat ini, kita akan dapati sebab turunnya ayat ini adalah apabila di zaman Nabi s.a.w terdapat golongan yang gemar bersumpah ” Demi Allah, kami mencintai Tuhan kami “, lalu Allah menurunkan ayat ini sebagai manifestasi kepada sebuah kata cinta. Iaitu, kalau kamu mencintai Allah, maka kamu akan mengikuti Nabi-Nya.

Perbincangan tentang kalimah cinta di dalam Al-Quran adalah suatu perbincangan yang cukup agung. Ia bukan sekadar suatu bingkisan ayat untuk membuai perasaan dan jiwa semata-mata, tetapi merupakan suatu bentuk praktikal yang cukup indah.

Kasih sayang itu bukan cinta, tetapi kasih sayang adalah buah daripada cinta.

Kerinduan itu bukan cinta, tetapi kerinduan adalah buah daripada cinta.

Pengorbanan bukan cinta, tetapi pengorbanan adalah buah daripada cinta.

Kita sendiri suka menyebut, cinta sejati adalah cinta Ilahi. Tetapi bagaimana realitinya ucapan tersebut?

Berpandukan ayat 31 Surah Ali Imran, kita dapati bahawa gabungan kasih sayang, kerinduan dan pengorbanan kepada Sang Tuhan membawa kita kepada mengikuti segenap ajaran utusannya yang bernama Muhammad. Hasilnya, kita mendapat sesuatu yang lebih agung iaitu kita dicintai oleh Allah.

Sebaliknya orang yang hanya bermadah ‘aku cinta kepada Tuhan’ tetapi tidak mengikut petunjuk dari Nabi dalam aplikasi kehidupan sehariannya, maka Imam Ibn Kathir ( 750 H ) menyebut dalam tafsirnya, mereka-mereka seperti ini adalah mereka yang hanya menipu untuk menyedapkan kata-kata.

Seorang mukmin yang mengembara mencari makna cinta, di akhirnya dia pasti akan menggenggam cinta Allah dan Rasul-Nya ini dengan gigi gerahamnya dan tidak akan dilepaskan sampai bila-bila.

CINTA KEPADA WANITA / LELAKI

Cinta adalah kalimah yang dikongsi bersama untuk semua perkara.

Cinta kepada Allah. Cinta kepada Rasul. Cinta kepada keluarga. Cinta kepada wanita. Cinta kepada harta. Dan segala bentuk cinta yang lain.

Namun darjatnya sudah tentu berbeza. Cara merealisasikan cinta juga mestilah tidak sama.

Cinta kepada Allah dan Rasul wajib menduduki tempat pertama sampai kiamat. Bagaimana sekalipun kita cinta kepada makhluk yang lain, tetap tidak boleh melangkaui cinta kita kepada Allah dan Rasul. Bahkan di dalam hadith, Nabi s.a.w bersabda :

ثلاث من كن فيه وجد حلاوة الإيمان: أن يكون الله ورسوله أحب إليه مما سواهما، وأن يحب المرء لا يحبه إلا لله، وأن يكره أن يعود في الكفر كما يكره أن يقذف في النار

” Tiga perkara yang jika ada pada seseorang maka akan dirasai kemanisan iman. Pertama, menjadikan Allah dan Rasul sebagai kecintaan yang lebih tinggi berbanding selainnya. Kedua, tidak mencintai seseorang melainkan kerana Allah. Ketiga, benci untuk kembali kepada kekufuran sepertimana benci dicampak ke dalam neraka. “

[ H.R Bukhari ]

Imam Ibn Hajar ( 852 H ) ketika mensyarahkan hadith ini di dalam Fathul Baari menyebut :

” Menjadikan Allah dan Rasul sebagai kecintaan yang lebih tinggi mengatasi selainnya ” bermakna, seseorang yang sempurna iman dalam dirinya, pasti akan mengerti bahawa hak Allah dan Rasul-Nya lebih berat ke atas dirinya berbanding hak ayahnya, ibunya, anaknya, isterinya mahupun manusia seluruhnya. Ini kerana petunjuk dan hidayah serta perlepasan daripada api neraka itu datangnya dari Allah melalui lisan Nabi-Nya. Justeru di antara manifestasi kecintaan seseorang itu kepada Allah dan Rasul-Nya adalah dengan membantu agama-Nya samada dengan perkataan atau perbuatan, menegakkan syariat Islam serta berakhlak dengan akhlak Islam “.

Tetapi cinta kepada wanita itu fitrah. Ia sedikitpun tidak terhalang dalam agama. Bukankah Nabi s.a.w itu juga mencintai isteri-isteri Baginda?

Kecintaan kepada wanita ini dibuktikan dalam firman Allah Ta’ala, Surah Ali Imran ayat 14 :


Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).

Imam Ibn Kathir ( 750 H ) ketika menghuraikan ayat ini menyebut , Allah memulakan dengan ‘wanita’ kerana fitnah mereka lebih dahsyat berbanding yang lain, sepertimana disebut dalam hadith sahih, Nabi s.a.w bersabda : ” Tidak aku tinggalkan fitnah yang lebih dahsyat ke atas lelaki berbanding wanita “.

Akan tetapi, jika kecintaan kepada wanita itu adalah atas dasar kasih sayang yang betul serta mengimpikan pernikahan yang meramaikan anak, maka itu tidaklah tercela. Bahkan banyak sekali hadith yang menyebut tentang ciri-ciri wanita terbaik untuk dicintai. Contohnya sabda Nabi s.a.w :

” Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah. Jika kamu memandangnya, kamu gembira. Jika kamu menyuruhnya, dia taat kepada kamu. Dan jika kamu tiada di sisinya, maka dia menjaga kehormatannya dan harta bendamu “.

[ H.R Muslim, Nasaie dan Ibn Majah ]

Cuba lihat dalam sirah.

Kita akan dapati manusia yang paling hebat menjadi idola dalam percintaan dengan wanita adalah Rasulullah s.a.w.

Baginda kekasih yang cukup romantik. Minum dari gelas yang sama. Bergurau senda dan bermain lumba lari dengan isteri. Pendek kata, segala perkara indah yang terbayang di minda kita ketika mendengar kalimah ‘cinta’ , maka semua itulah yang telah lama dipraktikkan oleh Nabi s.a.w supaya kita ikuti.

Mengikuti panduan bercinta cara Nabi, bukan sahaja menjadi ibadah, bahkan juga menjamin cinta kita supaya menjadi cinta fisrt class.

Mana mungkin mahu bercinta cara Nabi, kalau selalu berbalas-balas sms dan misscalleddengan pakwe atau makwe?

Mana mungkin mahu bercinta cara Nabi, kalau selalu keluar berdua-duaan?

Dan paling penting, mana mungkin mahu bercinta cara Nabi, kalau perkahwinan dikemudiankan tetapi kemanisannya didahulukan?

RESOLUSI

Jadi, kita simpulkan begini :

1- Cinta adalah sejenis perasaan suci yang lahir dari hati yang suci, serta direalisasikan mengikut jalan yang suci.

2- Bercinta itu boleh kerana cinta adalah fitrah, tetapi cinta kepada makhluk mesti datang selepas cinta Allah dan Rasul.

3- Cintakan wanita ( atau lelaki ) itu normal, tetapi jika berlaku di luar ruang lingkup pernikahan, ia adalah suatu kerosakan.

4- Orang yang cintakan Allah, pasti akan bercinta cara Nabi. Dan orang yang bercinta cara Nabi, pasti menemui cinta sejati.

Perbincangan ini tidak akan berakhir di sini.

Saya bercadang untuk menulis siri-siri seterusnya yang mana bukan sekadar menyentuh soal cinta dan perasaan, tetapi juga dengan tabiat-tabiat yang seringkali berlaku di dalam proses percintaan tersebut. Bagaimana jika terjatuh hati kepada seseorang, adakah perlu dibunuh perasaan tersebut ataupun bagaimana? Bagaimana pula jika keliru dengan sesuatu perasaan, apakah itu kagum ataupun cinta, adakah cara untuk membezakannya? Apa hukum kita berkenalan dengan orang yang kita suka? Apa pula hukum menyimpan perasaan kepada seseorang bertahun-tahun lamanya? Serta banyak lagi persoalan yang lain.

Segalanya akan cuba dibincangkan seringkas dan semudah yang boleh, agar ia dapat difahami dengan jelas oleh para pembaca. Sebarang komentar adalah dialu-alukan, dan jangan lupa untuk terus mengikuti artikel di MyIlham.Com, Motivasi Cinta Bersyariat.

Sekian.


Musleh's note : fahamilah cinta dari sudut pandang Islam, bukannya barat. Wallahu'alam

bersambung. . .



Friday, March 2, 2012

Kem Super Muslim Siri 2 : "KeranaNya kita bertemu"




Alhamdulillah, wa syukurillah..
Selawat dan salam atas junjungan Nabi Muhammad SAW, kaum kerabat dan sahabat baginda.

Assalamualaikum WBT buat para pembaca yang telah lama saya biarkan tanpa sebarang berita. InsyaAllah, dengan hidayah taufiq dariNya saya cuba menulis sesuatu di ruangan ini.

Alhamdulillah sekali lagi kerana pada 24 hingga 26 Februari yang lalu, krew PGPI IPG KRM bersama barisan fasilitator serta ajk pelaksana Kem Super Muslim berjaya melaksanakan kem tersebut meskipun terpaksa melalui pelbagai mehnah dan tribulasi bagi memastikan keberlangsungannya sehingga ke hari yang terakhir.


Setiap Perkara Kebaikan Pasti Diuji

Pada hari pertama, program berjalan dengan baik bersama kehadiran penceramah jemputan yang menaikkan mood para peserta yang teruja dengan pendekatan yang beliau gunakan. Permainan dan perkongsian pengalaman silih berganti menjadi halwa telinga bagi kami. Gelak ketawa kami dan tanda setuju bersatu sebagai tanda kesatuan hati-hati kami. Alhamdulillah, penerimaan adik-adik menurut pandangan kami adalah cemerlang sehingga ada dalam kalangan mereka yang meminta menjemput lagi Ustaz Nik pada program-program akan datang. Begitu juga tatkala slot kuliah dasar 'Solat dan Tuntutannya', terbayang saya akan kuliah oleh Ustaz Azhar Idrus memandangkan soalan yang tidak jemu-jemu diajukan sama ada daripada peserta mahupun fasilitator. Sungguh, semakin kita belajar semakin banyak perkara yang kita tidak tahu. Oleh kerana itu, teruskan usaha bagi memantapkan kualiti solat kita.

Saya percaya, dalam keadaan tugasan yang diterima dengan banyak dalam masa berlangsungnya kem ini, ada terdetik di hati mereka rasa tanggungjawab bagi menghadiri program yang jarang-jarang diadakan khas untuk mereka. Adik-adik, adalah insan terpilih yang dipilih oleh Allah bagi menghadirinya. Teringat saya pada kata-kata seorang pensyarah ketika mengaji di Pulau Pinang dahulu, "Kamu semua adalah insan yang telah dipilih oleh Allah untuk hadir ke kuliah maghrib ini dalam kalangan pelajar di kolej kediaman tersebut, kamu harus bersyukur kerana kamu telah dipimpin oleh Allah bagi mendengar serta mengutip mutiara ilmu yang bakal saya sampaikan nanti."

Benar, menitis airmata mendengar tiap bait kata beliau, dan perasaan yang sama hadir tatkala melihat wajah adik-adik yang telah datang ke Kem Super Muslim ini, terus saya teringat diri saya pada masa lalu. Betapa mereka merupakan insan suci, kudus dan beruntungnya adik-adik kerana dipilih oleh Allah untuk menerima hidayahNya. Kerana hidayah itu perlu dicari dengan kesungguhan.


Keseronokan, kerjasama dan kepuasan bersatu dalam Eksplorace

Tahniah saya ucapkan kepada barisan fasilitator dan ajk yang terlibat dalam menjayakan eksplorace yang telah berlangsung di sekitar kawasan kampus. Tasmik bacaan dalam solat, amali solat, dan pelbagai lagi aktiviti disatukan bagi memantapkan lagi pengetahuan dan pengamalan adik-adik dalam ibadah khusus ini. Riak gembira dan kepuasan jelas terpancar di wajah mereka, mungkin juga ada yang request untuk mengikuti lagi eksplorace sedemikian. Pihak ajk pelaksana dan barisan fasilitator berharap ada input yang adik-adik perolehi daripada eksplorace tersebut yang dapat diaplikasikan dalam kehidupan adik-adik. Syabas dan tahniah!


Saat Hati Disentuh Tarbiah (didikan)

Hati mana yang tidak tersentuh tatkala mengenangkan jasa dan bakti ibu dan ayah? Itulah konsep serta penekanan yang diberikan sewaktu slot muhasabah yang disampaikan oleh fasilitator sendiri. Semua sedia maklum bahawa setiap makhluk yang hidup di dunia akan kembali kepada Allah Rabbul Jalil. Penghayatan kisah yang dipaparkan memberi gambaran, peluang memperbaiki diri dengan harapan setiap manusia masih ada peluang untuk berubah menjadi lebih baik selagi mana nyawa masih dikandung badan.


Refleksi : Mencelik Hati Minda Peserta

Alhamdulillah, refleksi daripada para peserta amat positif dan mereka mengharapkan adanya Kem Super Muslim bagi siri ke 3. Harapan dari pihak kami, jadikan segala mutiara ilmu yang diperolehi dari kem ini sebagai bekalan menempuhi tiap liku-liku dan dugaan hidup yang dilalui. Kerana, ilmu yang tidak diamalkan ibarat pohon yang tidak berbuah, tetapi yang terbaik adalah pohon yang berbuah ranum dan dapat menjadi tempat teduhan tumbuh-tumbuhan lain.

Kami, dari seluruh krew PGPI IPG KRM memohon sejuta kemaafan andai terdapat sebarang kepincangan dan kemaslahatan sepanjang berlangsungnya Kem Super Muslim Siri 2. Segala perkara yang baik datang dari Allah SWT, yang buruk datang dari Allah juga tetapi kerana kelemahan di pihak kami. Wallahu'alam.



Barakallahufikum~

"KeranaNya kita bertemu"




KITA SATU HATI! ^_^