Friday, March 2, 2012

Kem Super Muslim Siri 2 : "KeranaNya kita bertemu"




Alhamdulillah, wa syukurillah..
Selawat dan salam atas junjungan Nabi Muhammad SAW, kaum kerabat dan sahabat baginda.

Assalamualaikum WBT buat para pembaca yang telah lama saya biarkan tanpa sebarang berita. InsyaAllah, dengan hidayah taufiq dariNya saya cuba menulis sesuatu di ruangan ini.

Alhamdulillah sekali lagi kerana pada 24 hingga 26 Februari yang lalu, krew PGPI IPG KRM bersama barisan fasilitator serta ajk pelaksana Kem Super Muslim berjaya melaksanakan kem tersebut meskipun terpaksa melalui pelbagai mehnah dan tribulasi bagi memastikan keberlangsungannya sehingga ke hari yang terakhir.


Setiap Perkara Kebaikan Pasti Diuji

Pada hari pertama, program berjalan dengan baik bersama kehadiran penceramah jemputan yang menaikkan mood para peserta yang teruja dengan pendekatan yang beliau gunakan. Permainan dan perkongsian pengalaman silih berganti menjadi halwa telinga bagi kami. Gelak ketawa kami dan tanda setuju bersatu sebagai tanda kesatuan hati-hati kami. Alhamdulillah, penerimaan adik-adik menurut pandangan kami adalah cemerlang sehingga ada dalam kalangan mereka yang meminta menjemput lagi Ustaz Nik pada program-program akan datang. Begitu juga tatkala slot kuliah dasar 'Solat dan Tuntutannya', terbayang saya akan kuliah oleh Ustaz Azhar Idrus memandangkan soalan yang tidak jemu-jemu diajukan sama ada daripada peserta mahupun fasilitator. Sungguh, semakin kita belajar semakin banyak perkara yang kita tidak tahu. Oleh kerana itu, teruskan usaha bagi memantapkan kualiti solat kita.

Saya percaya, dalam keadaan tugasan yang diterima dengan banyak dalam masa berlangsungnya kem ini, ada terdetik di hati mereka rasa tanggungjawab bagi menghadiri program yang jarang-jarang diadakan khas untuk mereka. Adik-adik, adalah insan terpilih yang dipilih oleh Allah bagi menghadirinya. Teringat saya pada kata-kata seorang pensyarah ketika mengaji di Pulau Pinang dahulu, "Kamu semua adalah insan yang telah dipilih oleh Allah untuk hadir ke kuliah maghrib ini dalam kalangan pelajar di kolej kediaman tersebut, kamu harus bersyukur kerana kamu telah dipimpin oleh Allah bagi mendengar serta mengutip mutiara ilmu yang bakal saya sampaikan nanti."

Benar, menitis airmata mendengar tiap bait kata beliau, dan perasaan yang sama hadir tatkala melihat wajah adik-adik yang telah datang ke Kem Super Muslim ini, terus saya teringat diri saya pada masa lalu. Betapa mereka merupakan insan suci, kudus dan beruntungnya adik-adik kerana dipilih oleh Allah untuk menerima hidayahNya. Kerana hidayah itu perlu dicari dengan kesungguhan.


Keseronokan, kerjasama dan kepuasan bersatu dalam Eksplorace

Tahniah saya ucapkan kepada barisan fasilitator dan ajk yang terlibat dalam menjayakan eksplorace yang telah berlangsung di sekitar kawasan kampus. Tasmik bacaan dalam solat, amali solat, dan pelbagai lagi aktiviti disatukan bagi memantapkan lagi pengetahuan dan pengamalan adik-adik dalam ibadah khusus ini. Riak gembira dan kepuasan jelas terpancar di wajah mereka, mungkin juga ada yang request untuk mengikuti lagi eksplorace sedemikian. Pihak ajk pelaksana dan barisan fasilitator berharap ada input yang adik-adik perolehi daripada eksplorace tersebut yang dapat diaplikasikan dalam kehidupan adik-adik. Syabas dan tahniah!


Saat Hati Disentuh Tarbiah (didikan)

Hati mana yang tidak tersentuh tatkala mengenangkan jasa dan bakti ibu dan ayah? Itulah konsep serta penekanan yang diberikan sewaktu slot muhasabah yang disampaikan oleh fasilitator sendiri. Semua sedia maklum bahawa setiap makhluk yang hidup di dunia akan kembali kepada Allah Rabbul Jalil. Penghayatan kisah yang dipaparkan memberi gambaran, peluang memperbaiki diri dengan harapan setiap manusia masih ada peluang untuk berubah menjadi lebih baik selagi mana nyawa masih dikandung badan.


Refleksi : Mencelik Hati Minda Peserta

Alhamdulillah, refleksi daripada para peserta amat positif dan mereka mengharapkan adanya Kem Super Muslim bagi siri ke 3. Harapan dari pihak kami, jadikan segala mutiara ilmu yang diperolehi dari kem ini sebagai bekalan menempuhi tiap liku-liku dan dugaan hidup yang dilalui. Kerana, ilmu yang tidak diamalkan ibarat pohon yang tidak berbuah, tetapi yang terbaik adalah pohon yang berbuah ranum dan dapat menjadi tempat teduhan tumbuh-tumbuhan lain.

Kami, dari seluruh krew PGPI IPG KRM memohon sejuta kemaafan andai terdapat sebarang kepincangan dan kemaslahatan sepanjang berlangsungnya Kem Super Muslim Siri 2. Segala perkara yang baik datang dari Allah SWT, yang buruk datang dari Allah juga tetapi kerana kelemahan di pihak kami. Wallahu'alam.



Barakallahufikum~

"KeranaNya kita bertemu"




KITA SATU HATI! ^_^




No comments: