Sunday, March 4, 2012

Berbicara Mengenai Hati (1)

Bismillahirrahmanirrahim

Kalam ini saya mulakan dengan memaparkan sedikit penceritaan mengenai CINTA yang skopnya terlalu luas untuk dibincangkan. Bila sebut sahaja perkataan Cinta, masing-masing terbayang akan konsep cinta sesama makhluk. Walhal ia meliputi seluruh kehidupan kita. Dengan cintaNya kita hidup, dengan cintaNya juga kita lahir ke dunia ini.

Tetapi, di sini ingin saya fokus mengenai fiqh cinta yang ditulis oleh saudara penulis blog Motivasi Cinta Bersyariat, myilham.com. Bagaimana pemahaman yang sebenar mengenai cinta dan pelbagai persoalan lagi.

++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Saya terfikir untuk menulis tentang Fiqh Cinta bukan kerana ia suatu ilmu yang baru. Bahkan ia suatu yang sangat biasa dan seringkali dibincangkan di mana-mana tempat.

Cuma saya melihat, ia masih kurang dibincangkan dalam konteks dan konsep yang betul. Lalu Fiqh Cinta secara bersiri ini saya hadirkan khas buat mereka yang masih tercari-cari makna cinta. Mudah-mudahan mereka menemui apa yang mereka cari bukan di dalam semak samun, sebaliknya di atas jalanan yang lurus, insyaAllah.

Suatu perkara yang perlu kita tahu adalah, manusia yang membicarakan tentang cinta ada dua versi.

Versi pertama adalah mereka yang membincangkan cinta dengan mengaitkan agama. Versi kedua pula sebaliknya. Artikel ini mahu mengembalikan perbincangan cinta itu kepada versi pertama, kerana itulah tempat sebenar kalimah cinta.

KENAPA FIQH?

Jarang kita dengar Fiqh Cinta. Tetapi mungkin kita selalu dengar Fiqh solat, zakat , puasa dan haji.

Sebenarnya kalimah ‘Fiqh’ itu dari segi bahasanya bermaksud faham. Dalam Surah Taaha ayat 27-28, Allah berfirman yang berbunyi :

” Dan ( berkata Musa ) lepaskanlah simpulan dari lidahku, Supaya mereka faham perkataanku “


Kalimah Fiqh dikembarkan dengan banyak kalimah lain. Jika Fiqh membicarakan tentang kefahaman dalam hal ehwal ibadat khusus, maka namanya Fiqh Ibadat. Jika membicarakan tentang kefahaman keutamaan, maka namanya Fiqh Aulawiyat. Jika membincangkan kefahaman tentang hal ehwal sumpah, maka namanya Fiqh Aiman. Jika membincangkan tentang hal ehwal jihad, maka namanya Fiqh Jihad. Begitu jugalah jika membincangkan tentang hal ehwal cinta.

Dan sudah tentulah untuk menjadi ‘faham’ , kita perlu kepada panduan yang memberikan kefahaman. Panduan itu tidak lain dan tidak bukan adalah Al-Quran dan Al-Hadith.

Jadi ringkasnya begini. Fiqh Cinta yang ingin kita bicarakan adalah ; kefahaman tentang cinta berdasarkan kepada panduan dari Al-Quran dan juga Sunnah.

MENDEFINISIKAN CINTA

Kalau kita buat kajian, kita akan mendapati takrifan yang pelbagai tentang makna kalimah cinta.

Ada yang mendefinisikan sebagai kasih sayang, kerinduan, kemesraan dan sebagainya.

Di dalam Al-Quran dan hadith, kalimah cinta atau Al-Hub disebut dalam banyak tempat. Antaranya dalam surah Ali Imran ayat 31 :


Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mencintai Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mencintai kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Jika kita menyoroti Tafsir Ibn Munzir ( 319 H ) yang mengulas tentang ayat ini, kita akan dapati sebab turunnya ayat ini adalah apabila di zaman Nabi s.a.w terdapat golongan yang gemar bersumpah ” Demi Allah, kami mencintai Tuhan kami “, lalu Allah menurunkan ayat ini sebagai manifestasi kepada sebuah kata cinta. Iaitu, kalau kamu mencintai Allah, maka kamu akan mengikuti Nabi-Nya.

Perbincangan tentang kalimah cinta di dalam Al-Quran adalah suatu perbincangan yang cukup agung. Ia bukan sekadar suatu bingkisan ayat untuk membuai perasaan dan jiwa semata-mata, tetapi merupakan suatu bentuk praktikal yang cukup indah.

Kasih sayang itu bukan cinta, tetapi kasih sayang adalah buah daripada cinta.

Kerinduan itu bukan cinta, tetapi kerinduan adalah buah daripada cinta.

Pengorbanan bukan cinta, tetapi pengorbanan adalah buah daripada cinta.

Kita sendiri suka menyebut, cinta sejati adalah cinta Ilahi. Tetapi bagaimana realitinya ucapan tersebut?

Berpandukan ayat 31 Surah Ali Imran, kita dapati bahawa gabungan kasih sayang, kerinduan dan pengorbanan kepada Sang Tuhan membawa kita kepada mengikuti segenap ajaran utusannya yang bernama Muhammad. Hasilnya, kita mendapat sesuatu yang lebih agung iaitu kita dicintai oleh Allah.

Sebaliknya orang yang hanya bermadah ‘aku cinta kepada Tuhan’ tetapi tidak mengikut petunjuk dari Nabi dalam aplikasi kehidupan sehariannya, maka Imam Ibn Kathir ( 750 H ) menyebut dalam tafsirnya, mereka-mereka seperti ini adalah mereka yang hanya menipu untuk menyedapkan kata-kata.

Seorang mukmin yang mengembara mencari makna cinta, di akhirnya dia pasti akan menggenggam cinta Allah dan Rasul-Nya ini dengan gigi gerahamnya dan tidak akan dilepaskan sampai bila-bila.

CINTA KEPADA WANITA / LELAKI

Cinta adalah kalimah yang dikongsi bersama untuk semua perkara.

Cinta kepada Allah. Cinta kepada Rasul. Cinta kepada keluarga. Cinta kepada wanita. Cinta kepada harta. Dan segala bentuk cinta yang lain.

Namun darjatnya sudah tentu berbeza. Cara merealisasikan cinta juga mestilah tidak sama.

Cinta kepada Allah dan Rasul wajib menduduki tempat pertama sampai kiamat. Bagaimana sekalipun kita cinta kepada makhluk yang lain, tetap tidak boleh melangkaui cinta kita kepada Allah dan Rasul. Bahkan di dalam hadith, Nabi s.a.w bersabda :

ثلاث من كن فيه وجد حلاوة الإيمان: أن يكون الله ورسوله أحب إليه مما سواهما، وأن يحب المرء لا يحبه إلا لله، وأن يكره أن يعود في الكفر كما يكره أن يقذف في النار

” Tiga perkara yang jika ada pada seseorang maka akan dirasai kemanisan iman. Pertama, menjadikan Allah dan Rasul sebagai kecintaan yang lebih tinggi berbanding selainnya. Kedua, tidak mencintai seseorang melainkan kerana Allah. Ketiga, benci untuk kembali kepada kekufuran sepertimana benci dicampak ke dalam neraka. “

[ H.R Bukhari ]

Imam Ibn Hajar ( 852 H ) ketika mensyarahkan hadith ini di dalam Fathul Baari menyebut :

” Menjadikan Allah dan Rasul sebagai kecintaan yang lebih tinggi mengatasi selainnya ” bermakna, seseorang yang sempurna iman dalam dirinya, pasti akan mengerti bahawa hak Allah dan Rasul-Nya lebih berat ke atas dirinya berbanding hak ayahnya, ibunya, anaknya, isterinya mahupun manusia seluruhnya. Ini kerana petunjuk dan hidayah serta perlepasan daripada api neraka itu datangnya dari Allah melalui lisan Nabi-Nya. Justeru di antara manifestasi kecintaan seseorang itu kepada Allah dan Rasul-Nya adalah dengan membantu agama-Nya samada dengan perkataan atau perbuatan, menegakkan syariat Islam serta berakhlak dengan akhlak Islam “.

Tetapi cinta kepada wanita itu fitrah. Ia sedikitpun tidak terhalang dalam agama. Bukankah Nabi s.a.w itu juga mencintai isteri-isteri Baginda?

Kecintaan kepada wanita ini dibuktikan dalam firman Allah Ta’ala, Surah Ali Imran ayat 14 :


Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).

Imam Ibn Kathir ( 750 H ) ketika menghuraikan ayat ini menyebut , Allah memulakan dengan ‘wanita’ kerana fitnah mereka lebih dahsyat berbanding yang lain, sepertimana disebut dalam hadith sahih, Nabi s.a.w bersabda : ” Tidak aku tinggalkan fitnah yang lebih dahsyat ke atas lelaki berbanding wanita “.

Akan tetapi, jika kecintaan kepada wanita itu adalah atas dasar kasih sayang yang betul serta mengimpikan pernikahan yang meramaikan anak, maka itu tidaklah tercela. Bahkan banyak sekali hadith yang menyebut tentang ciri-ciri wanita terbaik untuk dicintai. Contohnya sabda Nabi s.a.w :

” Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah. Jika kamu memandangnya, kamu gembira. Jika kamu menyuruhnya, dia taat kepada kamu. Dan jika kamu tiada di sisinya, maka dia menjaga kehormatannya dan harta bendamu “.

[ H.R Muslim, Nasaie dan Ibn Majah ]

Cuba lihat dalam sirah.

Kita akan dapati manusia yang paling hebat menjadi idola dalam percintaan dengan wanita adalah Rasulullah s.a.w.

Baginda kekasih yang cukup romantik. Minum dari gelas yang sama. Bergurau senda dan bermain lumba lari dengan isteri. Pendek kata, segala perkara indah yang terbayang di minda kita ketika mendengar kalimah ‘cinta’ , maka semua itulah yang telah lama dipraktikkan oleh Nabi s.a.w supaya kita ikuti.

Mengikuti panduan bercinta cara Nabi, bukan sahaja menjadi ibadah, bahkan juga menjamin cinta kita supaya menjadi cinta fisrt class.

Mana mungkin mahu bercinta cara Nabi, kalau selalu berbalas-balas sms dan misscalleddengan pakwe atau makwe?

Mana mungkin mahu bercinta cara Nabi, kalau selalu keluar berdua-duaan?

Dan paling penting, mana mungkin mahu bercinta cara Nabi, kalau perkahwinan dikemudiankan tetapi kemanisannya didahulukan?

RESOLUSI

Jadi, kita simpulkan begini :

1- Cinta adalah sejenis perasaan suci yang lahir dari hati yang suci, serta direalisasikan mengikut jalan yang suci.

2- Bercinta itu boleh kerana cinta adalah fitrah, tetapi cinta kepada makhluk mesti datang selepas cinta Allah dan Rasul.

3- Cintakan wanita ( atau lelaki ) itu normal, tetapi jika berlaku di luar ruang lingkup pernikahan, ia adalah suatu kerosakan.

4- Orang yang cintakan Allah, pasti akan bercinta cara Nabi. Dan orang yang bercinta cara Nabi, pasti menemui cinta sejati.

Perbincangan ini tidak akan berakhir di sini.

Saya bercadang untuk menulis siri-siri seterusnya yang mana bukan sekadar menyentuh soal cinta dan perasaan, tetapi juga dengan tabiat-tabiat yang seringkali berlaku di dalam proses percintaan tersebut. Bagaimana jika terjatuh hati kepada seseorang, adakah perlu dibunuh perasaan tersebut ataupun bagaimana? Bagaimana pula jika keliru dengan sesuatu perasaan, apakah itu kagum ataupun cinta, adakah cara untuk membezakannya? Apa hukum kita berkenalan dengan orang yang kita suka? Apa pula hukum menyimpan perasaan kepada seseorang bertahun-tahun lamanya? Serta banyak lagi persoalan yang lain.

Segalanya akan cuba dibincangkan seringkas dan semudah yang boleh, agar ia dapat difahami dengan jelas oleh para pembaca. Sebarang komentar adalah dialu-alukan, dan jangan lupa untuk terus mengikuti artikel di MyIlham.Com, Motivasi Cinta Bersyariat.

Sekian.


Musleh's note : fahamilah cinta dari sudut pandang Islam, bukannya barat. Wallahu'alam

bersambung. . .



No comments: