Tuesday, March 20, 2012

Tiada bertajuk

Luahan hati dan pandang sisi saya terhadap PERKAHWINAN.

Saya akui pabila membuka topik ini, ceriteranya tiada berpenghujung, pasti berepisod. Melihatkan beberapa teman akrab yang sering berkongsi kisah duka dan gembira membuatkan saya terpanggil untuk menyatakan suara hati.

Perkahwinan + jodoh + teman hidup

Benar, segala pandangan saya terhadap perkahwinan adalah hasil daripada pembacaan, kajian personal serta pemerhatian terhadap contoh-contoh yang dibentangkan di depan kaca mata saya. Tidak saya konklusikan sehingga benar-benar terjadi di depan mata. Perkongsian daripada Ustaz Syafiq, Ustaz Hasrizal, Ustazah Fatimah Syarha antara yang pernah saya ambil dan hadam serta rangkumkan menjadi kesimpulan yang mudah bahawa perkahwinan bukanlah seperti permainan pondok-pondok.
Sebenar-benarnya perkahwinan bukanlah sekadar melahirkan rasa cinta, sayang dan rindu. Ia adalah :

- Sebuah amanah dan tanggungjawab
- Terdapat padanya nilai ibadah
- Penyambung generasi gemilang
- Medan menempuhi zaman yang penuh kedewasaan
- Salah satu jalan menuju redha dan syurgaNya

Andai benar permulaannya, lurus niatnya, insyaAllah ia menjadi suatu ibadah yang sungguh terpuji, malah beroleh pahala kerana mencontohi sunnah baginda nabi.

Setiap perkahwinan pasti diuji

Sepertimana jalan menuju ke syurga yang penuh mehnah, begitu juga jalan menuju matlamat perkahwinan. Matlamat perkahwinan seperti yang tersenarai di atas, ianya pasti diuji. Terpulang pada kebijaksanaan dan kebergantungan kita pada yang Esa demi melayari bahtera yang telah terbina. Bisa saja bertekak lantaran tidak sama jenama ubat gigi yang digunakan. Itu semua berbalik pada matlamat individu dalam sesebuah perkahwinan. Sebab itu Islam menganjurkan perkahwinan yang sekufu, yang sekepala, sematlamat.

Sepertimana yang saya nyatakan di atas, perkahwinan adalah salah satu jalan menuju redha dan syurgaNya kerana mati itu pasti sedangkan jodoh, rezeki itu tidak pasti. Maka itu, teruslah fokus kepada matlamat akhir penghidupan, tetapi usahlah ditentang andai jodoh itu tiba kerana mungkin ada hikmah yang belum tersingkap ingin Allah sediakan untukmu.

Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Intipati yang pernah saya peroleh daripada bual bicara di ikim.fm, antara kunci kebahagiaan dalam sesebuah rumahtangga adalah kesabaran, komunikasi dan kesedaran tanggungjawab. Hakikatnya, teori tak semudah praktikal ^_^

Mata lebih tepat berbicara daripada lidah, inilah yang terlahir dari mata hati saya.

p/s:kepada rakan taulan dan saudara saudari yang sedang dalam proses, dan yang telah mendirikan rumahtangga. Gantunglah segenap pengharapan dan keyakinan pada Allah, insyaAllah Allah akan meluaskan jalan untukmu menuju syurgaNya.


No comments: