Sunday, March 27, 2011

No Turning Point

Suaranya tidak lama kedengaran, juga bait-bait semangat dan lontaran nasihat lantaran kadang-kala ada langkah yang tersilap dek lemahnya diri, akhirnya terubat pabila menerima satu panggilan di telefon bimbitku. Terima kasih kakak yang kusayangi kerana Allah.

Sungguh kuakui, mengenali insan sepertimu membuat aku insaf. Entah pernah atau tidak. Rasanya tidak sekali aku mendengar dengusan atau keluhan dari mulutmu. Aduhai muslimah, tabahnya hatimu dalam menghadapi mehnah di dunia ini.

Bercerita mengenai pengalamanmu ditempatkan pertama kali di SK Pos Bersih, baru ku tahu itu merupakan sekolah anak-anak orang asli. Sesiapa pun kita, guru baru atau guru yang berpengalaman, amat wajar untuk memulakan perkenalan. Benar katamu, memulakan perkenalan itu merupakan salah satu tuntutan Islam. Dikatakan juga, meluaskan kenalan dapat memanjangkan usia.

Dari satu segi pula, cabaran keberadaan di sekolah kawasan orang asli begitu menggamit jiwa. Meskipun anak-anak itu kurang pendedahan terhadap perkembangan terkini, tetapi keterujaannya untuk menimba ilmu membuat kita bersemangat untuk mencurahkan ilmu kepada mereka. Anak-anak amat menghargai! Ya, itulah semangat yang saya jarang lihat sepanjang PBS. Tetapi baginya, itulah pengalaman yang cukup indah!

Anak-anak itu ibarat si buta yang ingin mencari tongkatnya. Kasih sayang itu penghubung yang amat kuat nalurinya. Tunjuklah kasih sayang seorang guru kepada mereka, mereka akan menunjukkan komitmen dan keterujaannya untuk mendengar tiap butir bicara gurunya. Tidak keterlaluan saya katakan, ramai yang sependapat dengan saya bahawa kadang kala anak-anak lebih mendengar kata guru dari ibu bapa! Jika ibu bapa menyuruh begini, anak-anak akan katakan, "Cikgu kata buat macam ni."

Meskipun bilangan pelajar Islam amat minoriti di sana, insyaAllah jika 3 orang itu dilentur dan disemai dengan baik, mungkin satu hari nanti mereka bakal pelapis Dr. Fadzillah Kamsah, Sheikh Muzaffar dan figure-figure hebat di luar sana. Peluang yang telah diberikan kepada akak merupakan yang terbaik, memandangkan semua pelajar wajib mengambil mata pelajaran sivik.

Sesungguhnya setiap yang Allah aturkan adalah yang terbaik buat hambaNya. Dari jauh, eton doakan semoga kak ain berlapang dada, dipermudahkan segala urusan dan ingatlah di tangan kita, beribu harapan anak-anak untuk berjaya. Semoga segalanya dalam keberkatan dan redha Allah. Salam rindu dari kejauhan.

No comments: