Tuesday, March 15, 2011

Faham Mengundang Husnu Dzon

Isu hari ini, TERIMA KASIH KERANA MEMAHAMI. FAHAM MENGUNDANG HUSNU DZON. Pernahkah anda dalam situasi seperti diasak-asak...menyalahkan insan lain tanpa sebarang tujuan? Sikap tersebut berpunca kurang memahami orang lain. Sekarang cuba anda saluti sedikit diri anda dengan sikap empati, merasakan penderitaan atau permasalahan yang sedang insan lain hadapi, anda akan berasa sedikit tenteram, kurang keinginan untuk menuruti nafsu amarah. Dan anda akan berasa tenang, tenang kerana semua permasalahan sebenarnya memerlukan protokol untuk diselesaikan. Bukan hanya memakan masa satu dua saat untuk diselesaikan, tenang, istighfar, dan seterusnya cari punca. Kemudian mulakan langkah untuk atasi. Jauhi sikap terburu-buru (perangai syaitan) dalam segala hal. Rasional dan ambil pertimbangan dari segenap segi seperti menarik rambut dalam tepung.

Mengapa dikaitkan pemahaman dengan bersangka baik?
Suka untuk saya memberikan contoh situasi. Seorang jiran menyatakan permasalahannya...beliau begitu bingung sehinggakan pada satu tahap tidak tahan dengan cakap-cakap orang kampung. Segalanya bermula dengan satu mulut sehinggakan khabar angin tersebut amat menyimpang dari kisah sebenar. Nah, cakap-cakap orang kampung yang kurang menyelidik itulah puncanya. Sikap tidak mengesahkan kesahihan berita menyebabkan jiran tadi terus-terusan dihujani dengan tohmahan yang entahkan benar atau tidak. Maka, cuba kalian renungi adakah faham atau tidak orang-orang kampung itu dengan situasi sebenar yang dialami oleh jiran mereka? Saya kira, jika mereka faham situasi jiran..mereka tidak layak untuk bercerita ke sana ke mari akan hal yang sedang dialaminya. Setelah diselidiki rupa-rupanya jiran itu sedang menjalani rawatan yang panjang di luar negara kerana itulah beliau tidak pulang ke kampung halaman, bukanlah lupa asal usul.

Khatimahnya, dianjurkan agar menyelidik dahulu dan memahami sesuatu perkara agar tidak timbul suuz dzon (berburuk sangka). Bukankah Allah menghadiahkan hikmah atas tiap yang ditimpakannya? Carilah hikmah tersebut untuk dipelajari. Ianya lebih indah dari manisan.

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi Maha mengasihani." (Surah al-Hujurat: 12)

No comments: