Saturday, November 5, 2011

Aidiladha Merungkai Seribu Pengorbanan

Bismillahirrahmanirrahim, syukur alhamdulillah kerana kita masih diberi peluang untuk menghirup udara kepunyaan Allah SWT. Aidiladha pada tahun ini saya hanya berpeluang menyambutnya di kampus bersama sahabat seperjuangan memandangkan kekangan tertentu untuk pulang ke kampung bersama keluarga tercinta.


Hari Raya Aidiladha yang diraikan oleh umat Islam mempunyai sirahnya yang tersendiri. Kisah Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail dalam mentaati perintah Allah SWT memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Hari Raya Aidiladha juga mengajak umat Islam agar lebih dekat kepada Yang Esa, ia membuktikan cinta dan ketaatan kita dalam beribadah kepadaNya di samping menghayati sirah Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS.

Maksud firman Allah SWT dalam Surah Ibrahim ayat 34 :

"Dan dia telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dari segala apa yang kamu pohonkan kepadanya, dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya dan sangat mengingkari (tidak menghargai nikmat Allah)."

Islam telah menggariskan beberapa panduan dan amalan sunat yang boleh dilakukan menjelang tiba Hari Raya Aidiladha :
  • Berpuasa sunat hari Arafah pada 9 Zulhijjah, sabda Rasulullah SAW mafhumnya, " Dihapuskan dosa selama satu tahun sebelumnya dan satu tahun selepasnya."
  • Melakukan solat sunat Hari Raya Aidiladha pada 10 Zulhijjah
  • Menghidupkan malam raya dengan ibadah seperti takbir, zikir, solat sunat tahajjud dan membaca Al-Quran.
  • Memakai pakaian baru dan bersih
  • Memakai wangi-wangian bagi kaum lelaki
  • Bermaafan dengan ibu bapa dan ahli keluarga
  • Bersarapan selepas solat Hari Raya Aidiladha
  • Berwajah ceria dan senyum kepada setiap orang Islam yang ditemui
  • Mandi sunat pagi hari raya
  • Menyegerakan solat sunat hari raya di awal waktu
  • Melakukan ibadah korban

Kaifiat Solat Sunat Hari Raya Aidiladha
  1. Bilangan rakaat : 2 rakaat, 1 salam
  2. Bilangan takbir : 7 kali pada rakaat pertama dan 5 kali pada rakaat kedua (tidak termasuk takbiratul ihram)
  3. Bilangan tasbih : 6 kali pada rakaat pertama dan 4 kali pada rakaat kedua.
  4. Lafaz niat : اصَلِّي سُنَّة عيد الأضحي رَكعَتَينِ مأموما/اماما ِللهِ تَعَالَي
    Maksudnya : Sahaja aku solat sunat Aidiladha dua rakaat mengikut imam/imam kerana Allah Taala.
  5. Membaca doa iftitah
  6. Bertakbir dengan mengangkat tangan sebanyak 7 kali dan membaca tasbih sebanyak 6 kali, dimulai dengan takbir kemudian disusuli dengan tasbih secara berselang seli.
  7. سُبْحَانَ الله وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلا اِلَهَ اِلاَّ الله وَاللهُ اَكْبَرْ وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ اِلاَّ بِاللهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيْمِ
  8. Membaca surah Al-Fatihah dan diikuti mana-mana surah.
  9. Pada rakaat kedua, bertakbir sebanyak 5 kali dan membaca tasbih sebanyak 4 kali secara berselang seli.
  10. Kemudian membaca surah Al-Fatihah diikuti mana-mana surah.
  11. Selepas salam, khatib akan membaca khutbah dan disarankan memberi tumpuan dan tidak bercakap-cakap.

Hikmah Takbir Hari Raya Aidiladha
  • Melahirkan kesyukuran kepada Allah SWT
  • Meninggikan syiar Islam
  • Mengingatkan kita tentang kebesaran Allah SWT
  • Memantapkan semangat perjuangan umat Islam.

Rujukan :


No comments: