Thursday, November 10, 2011

Usah Mengimani Segulung Ijazah

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah syukurku ke hadrat Ilahi, akhirnya berjaya melepasi satu kertas peperiksaan yang mana amat menguji daya kreativiti dan inovasi kami dalam melahirkan buah fikiran di atas helaian-helaian kertas berbekalkan ilham cetusan dari Yang Esa.

Subjek bagi semester ini sedikit sebanyak membuka mata saya mengenai seni, teknologi dalam pendidikan, alam sekitar serta metodologi pengajaran. Meskipun begitu, ia tidak melupakan saya kepada suatu kuasa yang menggerakkan hati, pemikiran dan minda untuk menerawang, mencari segenap kekuatan untuk memulakan langkah memasuki dewan peperiksaan yang juga merupakan salah satu medan perjuangan sebenar abad kini. Sungguh, saya akui jika di matrikulasi dahulu saya merasakan peperiksaan adalah medium yang saya sangat teruja untuk hadapi, tetapi kini ia seakan menjadi suatu perkara yang perlu saya gali dan kaji dengan mendalam. Kehidupan sepanjang proses mendapatkan segulung ijazah bukan sekadar berlegar pada 3K (Kuliah, kafeteria, kediaman) malah membawa saya meneroka segala ilmu, kemahiran dan pengalaman.


Jatuh bangun

Itu sudah menjadi lumrah. Ada kala air mata menjadi saksi bagi Sang Hati yang tidak mampu lagi berbicara suram. Corak pendidikan bernuansa barat ternyata menguji ikhlas atau tidaknya sang hati untuk memenuhi jalan penuh berliku ini. Biarpun semudah ABC ditutur dibibir anak-anak muda yang masih mentah tidak kenal apa itu kuliah, tutorial dan praktikal. Ya, IKHLAS itu kuncinya. Ada yang kental sehingga ke titik PhD, malah ada juga yang 'syahid' di medan jihad ini.

Di sebalik segulung ijazah itulah terlukis segala peta onak duri kehidupan pengajian
Di sebalik segulung ijazah itulah terakam segala jerit perih mengawal keluar masuk anasir-anasir kehidupan
Di sebalik segulung ijazah jugalah terabadi kenangan bersama menggapai cita, ilmu, pengalaman, cerita duka gembira, belajar tentang alam dan manusia yang pelbagai rencam.

Tetapi, usahlah mengimani segulung ijazah kerana husnul atau su'ulnya natijah kehidupan bergantung pada berkatnya kehidupan di sisi Tuhan. Jadikanlah ijazah itu sekadar kaedah untuk mencapai Mardhatillah, bukan sebagai suatu matlamat. Sahabat, usah gentar andai rebah di pertengahan perjalanan, kerana beribu peluang kan menyapa dalam suasana yang tak menang tangan. Carilah Tuhan, kerana di situ kau kan mengerti makna setitik ilmu buat penyuluh seluruh kehidupan. Kejarlah penghidupan akhiratmu, dunia akan mengejarmu secara automatik.

"Ilmu itu ibarat cahaya, ia mudah dicapai dengan hati yang taqwa dan khusyuk"
-Imam Shafie-

Alhamdulillah...terima kasih tuhan di atas peringatan. ^_^

Gambar murid-murid Tahun 6 SK Sikamat menjalani ujian bulanan ketika PBS 3 yang lalu. Ke manakah mereka 10 tahun akan datang?

Salam imtihan buat semua family IPG, semoga kejayaan kan bersama-sama kita kelak berkat ikhtiar, tawakal, doa kalian demi mengejar makna sebenar Mardhatillah.

No comments: