Friday, July 26, 2013

Hujung Minggu Itu

Pagi itu aku bersama seorang sahabat, Yusniza berjogging bersama di sekitar tasik yang menjadi tumpuan para siswa siswi melegakan tekanan di minda setelah berhari-hari, pagi petang hingga ke malam menelaah pelajaran.

Berjalanlah kami berdua.

Berkongsi cerita dan kisah hidup.

Nyata, aku dan dia berbeza. Dia terlalu baik dan berlemah lembut ketika berbicara. Malu aku padanya.

Sampai di satu penjuru, kami terpandang pada seseorang yang menarik perhatian hati kami.

'Kak Fi!'

 Benar, orang yang biasa-biasa jika berakhlak mulia, indah tutur kata, pasti akan menarik mad'u-mad'u dekat padanya. 


Berdekatanlah kami antara satu sama lain, bersalaman mesra. Bertanya khabar.

Kami meneruskan perjalanan *jogging* mengelilingi tasik buatan tersebut sambil berbual mesra.

Besar juga keluasan tasik tersebut. Di tengah-tengahnya terdapat sebuah menara. Menara dan tepian tasik tersebut disambungkan oleh dua utas tali yang besar bagi memudahkan untuk para pelajar ke menara tersebut. Satu untuk memegang, satu lagi untuk menapak menuju ke menara. Ada jambatan yang menghubungkan tepian ke menara, tetapi Kak Fi dan sahabat-sahabatnya memilih untuk menggunakan tali tersebut.

Aku melihat Kak Fi dan sahabat-sahabatnya menyeberangi tasik tersebut menggunakan tali yang tersedia.

'Beraninya dia, rasanya dalam juga tasik ni. Mungkin juga ada buaya,' getus hati kecilku.

Kak Fi dan sahabat-sahabat sudah tiba ke menara.

"Zaiton nak cuba?" tanya Kak Fi kepadaku.

"Err...takpe lah Kak Fi. Tak berani la."

"Kami boleh, mesti Zaiton pun boleh. InsyaAllah, yakin!"

Aku menyahut cabaran itu, aku menapak ke atas seutas tali. Tali yang berada di atas kepalaku, ku pegang.

Satu persatu, kakiku melangkah. Menggigil juga. Sesekali ku pandang ke bawah. Macam mana kalau terjatuh ni? Ya Allah, takutnya. Aku tawakal je ni, andai umurku panjang, aku sampai ke menara dan berjaya patah balik semula ke tepian tasik. Andai tidak, Ya Allah...kepadaMu hanya ku berserah.

"Boleh, Zaiton boleh!" kata-kata Kak Fi dan sahabat seolah-olah memberi suntikan semangat yang luar biasa. Sempat aku berdetik di hati. Kuat betul semangat Kak Fi, muslimah hebat ni.

Tup tup, aku tak perasan dah sampai ke menara.

"Kan, dah sampai.."

Tersenyum puas aku.

"InsyaAllah Zaiton, kita kena yakin diri. Banyak perkara yang kita rasa mustahil nak buat, sebenarnya kita boleh capai."

Muslimah tidak lemah. Tapi lemah lembutnya adalah kerana semangat yang tidak mudah luntur!

No comments: