Sunday, July 28, 2013

4 Hari 3 Malam

“Sekarang, majlis menjemput Pengerusi AJK Surau bagi Sesi 2007/2008 menyampaikan sepatah dua kata.”

Saudara Amir Amsyar menyusun langkah dengan tertib menuju ke rostrum.

“Bismillahirrahmanirrahim...” Beliau memulakan bicara. Aku memang tidak begitu mengenali rakan-rakan PST, lagi-lagi muslimin ni. Sejak keberadaanku di kampus ini, sedikit sebanyak mengubah gaya fikir dan penampilanku. Terlibat dengan organisasi surau mengajarku sedikit sebanyak tentang adab pergaulan, penampilan sebenar bagi muslimat, ukhwah Islami, pengurusan organisasi dan 1001 lagi pengalaman dan ilmu baru yang tidak mungkin dilupakan.

Aku memikirkan tugasan-tugasan tutorial yang masih berbaki ditinggalkan di bilik hotel. Aku tidak menyangka aku akan berada di Hotel Bella Vista, Langkawi pada saat dan ketika ini. Kami berkursus selama 4 hari bermula Khamis sehingga Ahad.

Perasaan? Allah sahaja yang tahu. Memang semenjak kecil aku tidak pernah mengikuti kursus seislamis begini. Paling aku ingat aku pernah menyertai kursus kepimpinan sempena kokurikulum di Melaka. Ala-ala ketenteraan begitu.

Terpinga-pinga aku di buatnya, macam mana aku boleh terlibat dengan AJK Surau ni? Ya...malam itu, malam Allah menjentik taufiq dan hidayah ke dalam hatiku. Mana mungkin aku lupakan. Sesi taaruf oleh Pengerusi AJK Surau Muslimat, Kak Fi di surau Blok B. Oh, sungguh bersopan santun dan bijak orangnya, semangat dakwah yang tinggi dan tidak pernah berputus asa. Mulanya aku menyangka dia adalah seorang pensyarah, tetapi tidak. Dia juga seorang pelajar siswi sepertiku, di tahun akhir. Matang gaya tutur katanya. Dia turut menyertai kursus AJK Surau itu, aku sebilik dengannya dan sahabat baiknya, Kak Su.

“....cumanya, muslimat ni kalau boleh janganlah pakai tudung transparensi.”

Tap, tersentap aku! Errk...apa maksudnya? Tudung jarang ke? Aku melihat fabrik tudung yang aku pakai. Ya Allah...direct Allah bagi teguran. Kata-kata terakhir Pengerusi AJK Surau sungguh menusuk hati kecilku. Sedikit malu sebab diri ini sangat jahil, tudungku jarang rupanya. 

Malam itu, di bilik hotel kami menginap. Sebelum kami beradu, Kak Fi memanggil kami untuk berkumpul. Aku, Fitriah, Kak Fi dan Kak Su.

Di pertengahan sesi sembang malam itu, kami menceritakan pengalaman masing-masing di alam persekolahan, kisah juga tujuan hidup dan sebagainya.

Antara perkara paling menyentuh hati aku adalah perkongsian mengenai penampilan yang sempurna bagi muslimat. Kak Fi sangat menekankan kepada kami mengenai penjagaan aurat. Waima kita duduk bersendirian, kita perlu menjaga aurat kita.

“Kak Fi memang pakai tudung labuh, handsock dan stokin sejak sekolah ke?” tanyaku.

“Ye Auni, Kak Fi memang berpenampilan macam ni sejak sekolah.”

“Sekolah agama?” aku inginkan kepastian.

“Oh tak. Kak Fi sekolah harian biasa.”

Allah...Allah...insan terpilih. Kak Fi juga seperti aku, persekitaran yang bukan secara sepenuhnya menjadi faktor penguat untuk sempurna menutup aurat. Tetapi, dia boleh melakukannya demi maruah diri dan kehormatan.

Diterangkannya lagi, “Aurat kita ni perlu dijaga. Cara kita bercakap juga. Usah bercakap kasar. Muslimah itu dijadikan dengan naluri yang berlemah lembut. Adik-adik tahu kan, doa anak yang soleh solehah untuk ibu dan bapanya, doanya diterima oleh Allah?”

Allah...tertunduk malu aku, sangat lain dengan apa yang diperkatakan oleh Kak Fi.

Dan...aku berazam untuk mengubah sedikit demi sedikit akhlak dan budi pekertiku, aku sayang ibu bapaku. Aku ingin doaku untuk kedua ibu bapaku antara yang dimakbulkan Allah. Juga aku ingin menggapai sekuat-kuatnya Cinta Teragung, Cinta Ilahi. 

No comments: