Friday, March 22, 2013

Allah sedang berbicara tentang IMAN kamu

Bismillahirrahmanirrahim

Ya Rabbana
Ya Rabbana
Ya Rabbana

Oh agak bersarang blog ini. Tak semua yang kita rancang menjadi. Kita merancang, Allah jua merancang, tetapi ingat perancanganNyalah yang terbaik. 

Kadang kita rasa kita sahajalah yang betul, susah menerima pendapat orang lain. Tetapi satu perkara yang perlu diingati. Kadang kala Allah datangkan insan, makhluk lain untuk menguji kita. Untuk menguji kita apa yang sering kita perkatakan. Benar, janji Allah itu pasti. Dan Allah sangat tidak suka kepada orang yang tidak melakukan apa yang telah diperkatakannya. 

Dan seandainya kita mengimani bahawa ujian itu adalah sebagai tanda sayangNya, tanda keprihatinanNya pada kita, pasti kita tak mudah mengeluh dengan ujian yang hadir itu. Pasti dan pasti setiap bucu kesukaran hidup, kesedihan adalah sebagai borderline agar kita tak mudah terjerumus ke jalan-jalan neraka. Hidup punya turun naik. Kadang kita berada di atas, kadang berada di bawah. Kadang kita syukur, kadang kita kufur. Ujian-ujian itulah sebagai sign dari Allah agar kembali kepadaNya. 

Mengharap keredhaan Allah adalah jauh lebih bermakna berbanding mengharap pandangan manusia. Kita memang tak boleh menutup mulut manusia. Fokuslah kepada pembersihan hati berbanding memikirkan cakap-cakap manusia. Sebab sampai kita ke liang lahad pun tak mustahil masih akan ada manusia yang bercakap-cakap tentang diri kita. Jadi, mengharap pandangan Allah itu adalah lebih besar kesannya kepada hati. 

Ubat hati ada lima perkara. Kenapa perlu selalu dibersihkan hati? Hati tempat jatuhnya pandangan Allah. Bukan harta, bukan kecantikan. Dan dunia ini milik orang yang baik, bukan yang hanya cantik. Pernah merasai kedamaian yang amat sangat? Syahdu bukan? Tenangnya bukan kepalang. Saya pasti dan pasti saat itu adalah ketika penyerahan kehidupan adalah semata-mata kepada Allah. Tiada bersandarkan selain Allah. Tatkala tempat paling mulia diletakkan di tempat yang paling rendah. Saat memohon keampunan atas segala dosa dan kesilapan yang pernah dilakukan. Saat mengenang mati itu pada bila-bila masa sahaja. Saat dan ketikanya kita tiada punya sesiapa kecuali Dia dan Dia. Saat kita hanya mengharap rahmatnya agar terselamat dari seksaan api nerakaNya. Cara pembersihan hati ada 5. Baca Al-Quran dan maknanya, solat malam (qiamullail), berkumpul dengan orang-orang soleh (pergi ke majlis ilmu), perbanyakkan amalan berpuasa, berzikir malam (sentiasa mengingati Allah). 

Andai, kita tahu jalan ke syurga itu tidak mudah. Pasti dan pasti kita takut dan tidak pernah terlintas untuk menderhakaiNya, untuk melanggar perintahNya. Yang mana perintah solatnya yang akan pertama ditanya untuk dihisab, yang mana perintah menutup auratnya, yang mana perintah menjalankan segala amanah dan tanggungjawab. Manusia sebagai hamba dan khalifah. Tidak terlepas dari tanggungjawab. Pintalah selalu kekuatan dan ketabahan hati untuk melalui liku-liku dan ujian dalam kehidupan. Kerana ada insan yang awal hidup sangat soleh, tetapi penghujungnya sebaliknya. Malah ada insan yang awal hidupnya biasa-biasa sahaja, tetapi dengan hidayahNya, ia terpilih untuk ke syurga berkat rahmatNya. Doa itu senjata paling ampuh buat kita, jika kita sombong untuk berdoa, sanggupkah kita menahan panasnya api neraka?

Hidup ini sebentar cuma, entah esok atau lusa, kita dijemput Yang Esa. Berhajatlah untuk mati dalam ketenangan dan redhaNya. Usah biarkan sedetikpun sehari-harian kita lupa akan Allah. Mungkin sedang kita memandu, sedang kita makan, sedang kita bersolat kita dijemput untuk kembali kepada pencipta diri  kita. Berhajatlah dari sekarang untuk kembali dalam keadaan husnul khotimah. Berdoalah, berusahalah. Jauhi yang mungkar dan lakukan yang diperintahkan. 

Aku ingin berjiran denganmu wahai pembaca entri ini. Aku ingin berjiran denganmu di syurganya. 

Allahumma ya muqallibal qulub, thabbit qulu bana 'ala dinika wa'ala to 'atiq. 

1 comment:

pa said...

jom berjiran. biizdnillah =)