Saturday, July 24, 2010

Rindu Kembali

Sukar untuk saya menggambarkan perasaan ketika ini, dan sukar juga untuk saya meluahkan perasaan, tidak kiralah suka mahupun duka. Yang ternyata saya akan kalut dan serabut. Mungkin oleh kerana itulah ada kalanya saya seperti blur...mungkin sahabat-sahabat lebih memahami diri saya apabila ditimpa masalah, saya menjadi orang yang bingung kerana asyik terlalu termenung.

Punca

Memang diakui apabila saya ditimpa musibah, saya menjadi blur...saya tak pasti jalan mana yang harus ikuti...sehinggakan saya membiarkan orang lain yang mencari penyelesaian untuk saya. Mak dan ayahlah yang selalu membuat keputusan untuk saya. Saya bukan tak mahu mencari penyelesaian, saya tak pasti adakah cara saya berfikir, adakah cara saya melihat sesuatu masalah, adakah cara saya menerima sesuatu masalah itu benar dan selayaknya. Sebabnya, masih banyak perkara yang perlu saya pelajari terutama dalam membuat keputusan dan pilihan. Nah, dan sebab itulah saya just let it happen...apa nak jadi jadilah.

Saya masih teringat bagaimana saya berada dalam dilema membuat keputusan. Mahu atau tidak, akhirnya saya apply ipg kerana keputusan itu datang dari mak dan ayah saya. Sewaktu saya diterima masuk, gembiranya bukan kepalang. Bukan kerana saya berjaya diterima masuk, bukan...tidak sekali. Tapi, saya gembira sangat sebab dapat mengembirakan hati kedua mak dan ayah. Kerana apa? Kerana mereka yang menetapkan keputusan untuk saya mencuba apply ipg buat kali kedua meskipun pada awalnya saya confuse dan tidak mahu meninggalkan program matrikulasi.

Mengapa

Pasti ramai pembaca tertanya apa sebenarnya yang cuba disampaikan oleh anamusleh. Pada waktu ini, perasaan saya...terlalu rindu pada mak dan ayah. Terlalu sehinggakan saya bingung tak menentu. Begitulah panahan cinta mak dan ayah. Tiada berpenghujung. Jadual harian saya jadi tak menentu. Jasad saya ke kuliah, tapi jiwa saya menerawang ke kampung, terbayang tengah berborak dengan mak, bergurau dengan mak, melayan anak buah dan sebagainya.

Timbul perasaan

Saya mahu balik kampung berjumpa mak dan ayah, tapi kekangan kerja membuatkan saya begini. Banyak tanggungjawab dan komitmen yang harus saya tumpukan di sini. Tapi saya harus sedar, mak dan ayah saya memahami keadaan saya. Saya cuma bimbang keadaan mak dan ayah yang sudah uzur, tambahan pula hanya tinggal berdua meskipun ada jiran terdekat. Pernah saya terfikir, "Kalau tak, ton berhenti belajar, nak jaga mak bapak kat rumah." Tapi, bila difikirkan semula pengorbanan mak dan ayah sedari saya dalam kandungan mak sehingga sekarang, saya yakin tiada siapa yang dapat membalas jasa mereka. Harapan mereka untuk melihat saya belajar tidak boleh saya kecewakan, mereka sentiasa memikirkan yang terbaik untuk masa depan saya. Jadi, wajarkah saya mensia-siakan dan meruntuhkan kepercayaan mereka?

Saya masih teringat sewaktu terlibat dalam kemalangan, mak menjaga makan minum saya...mak merawat saya, mencari penawar untuk saya. Berpuluh ringgit ayah terpaksa belanjakan wangnya demi melihat saya kembali pulih. Saya sebak, Ya Allah...berikanlah kesempatan untuk membalas jasa mak dan ayah.

Apa perananku sebagai anak?

Sebagai anak apa peranan kita demi membalas jasa dan pengorbanan mereka selama ini? Cukupkah dengan hanya memberikan wang ringgit dan kemewahan semata? Silap jika kita berfikiran sebegitu.

Islam mengajar kita agar sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepada kedua ibu bapa.
Firman Allah SWT dalam surah Lukman ayat 14:
“Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu dan (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).”

Firman Allah dalam Surah Al-Isra' ayat 23 :
"Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "uh" dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)."

Jadilah anak yang soleh/solehah kerana 3 kebaikan yang berterusan meskipun telah meninggal dunia adalah :
  1. Sedekah + amal jariah yang dilakukan
  2. Ilmu bermanfaat yang disampaikan kepada orang lain dan diamalkan
  3. Doa anak-anak yang soleh/solehah untuk kedua ibu bapanya.
Kesimpulan

Justeru, persiapkanlah diri kita untuk menjadi insan soleh/solehah yang sentiasa mendoakan kedua ibu bapa supaya tetap berada dalam jalan dan agama ISLAM...

No comments: